JS Solar sasar dana IPO bagi pembelian pejabat baharu dan perkembangan perniagaan | DagangNews Skip to main content

JS Solar sasar dana IPO bagi pembelian pejabat baharu dan perkembangan perniagaan

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 3 Jan - JS Solar Holding Bhd (JS Solar) yang menyediakan perkhidmatan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan penyampaian (EPCC) serta sistem fotovolta solar (PV), memfailkan permohonan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE bagi mengumpul dana untuk membeli pejabat baharu dan mengembangkan perniagaan.

 

IPO yang dicadangkan melibatkan terbitan awam sebanyak 78 juta saham baharu dan tawaran penjualan 19.5 juta saham sedia ada, yang keseluruhannya mewakili 26% daripada modal saham yang diterbitkan selepas pengembangan, pada harga yang akan ditentukan.

 

JS Solar ditubuhkan pada tahun 2018 untuk memanfaatkan potensi industri tenaga boleh diperbaharui solar PV. 

 

Syarikat itu terlibat dalam projek-projek solar PV dengan menyediakan perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan.

 

Setakat 18 November 2024, syarikat tersebut telah melaksanakan projek-projek pemasangan sistem tenaga solar dengan jumlah kapasiti 376.63 MWp untuk pelbagai jenis hartanah termasuk kediaman, perniagaan, industri, serta sistem solar yang digunakan untuk tujuan bekalan tenaga berskala besar.

 

Pada Januari 2024, konsortium yang terdiri daripada JS Solar dan unit Samaiden Group Bhd, telah memenangi kontrak bernilai RM100 juta untuk membina loji kuasa solar 50MW fasa pertama di Kulim Hi-Tech Park, Kedah.

 

"Kami telah berjaya memasang sistem solar PV terapung yang menguatkan keupayaan kami dalam bidang ini. 

 

"Rekod prestasi kami ditambah pendaftaran dengan pihak berkuasa yang berkaitan memperkukuh rekod prestasi syarikat, yang membolehkan kami menjalankan projek-projek sistem solar PV dalam pelbagai saiz atau skala," menurut draf prospektus JS Solar yang difailkan dengan Bursa Malaysia.

 

Bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Mac 2024, syarikat mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM6.4 juta berikutan hasil sebanyak RM140.39 juta. 

 

Margin keuntungan kasar adalah 10.92%, manakala margin keuntungan sebelum cukai adalah 6.58%.

 

Di bawah tawaran awam yang dicadangkan, syarikat memperuntukkan 16.25 juta saham baharu untuk orang awam, sebanyak 19.5 juta saham untuk individu yang layak dan 42.25 juta saham kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian.

 

Dana yang diperoleh daripada terbitan awam akan digunakan untuk pembelian dan pengubahsuaian pejabat baharu, pengembangan perniagaan dan aktiviti pemasaran, pinjaman bank, modal kerja serta perbelanjaan penyenaraian.

 

Dana yang diperoleh daripada tawaran penjualan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih akan disalurkan sepenuhnya kepada pemegang saham penjual, iaitu Pengarah Urusan, Chai Jeun Sian, Pengarah Bukan Eksekutif, Ikwan Hafiz Jamaludin dan pemegang saham utama, Sa Chee Peng.

 

Jeun Sian kini memegang 20% kepentingan dalam JS Solar, manakala Ikwan memegang 21.25% secara langsung dan 29.75% melalui Rantai Inspirasi dan Chee Peng mempunyai 24%.

 

Selepas IPO, Jeun Sian akan memegang 14.7%, Ikwan 16.15% secara langsung dan 19.61% secara tidak langsung melalui Rantai Inspirasi dan Chee Peng sebanyak 16.94%.

 

TA Securities Holdings Bhd adalah penasihat utama, penaja, penjamin dan ejen penempatan untuk IPO berkenaan. - DagangNews.com