Jualan borong, runcit Malaysia cecah RM148.2 bilion pada September 2024, kata DOSM | DagangNews Skip to main content

Jualan borong, runcit Malaysia cecah RM148.2 bilion pada September 2024, kata DOSM

Gambar: Naim Aziz/DagangNews

KUALA LUMPUR 7 Nov - Jualan sektor perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan peningkatan tahunan sebanyak 3.8% kepada RM148.2 bilion pada September 2024, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

DOSM dalam satu kenyataan berkata, prestasi kukuh subsektor perdagangan borong dan runcit pada September 2024 disokong oleh beberapa faktor luaran.

 

Katanya, Malaysia mencatatkan peningkatan sebanyak sembilan peratus ketibaan pelancong sepanjang bulan berkenaan, yang menyumbang secara positif kepada sektor itu.

 

Selain itu, cuti sekolah selama seminggu, sambutan Hari Malaysia, dan kejayaan penganjuran ekspo Pertanian,Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) turut menyokong prestasi keseluruhan sektor perdagangan borong dan runcit.

 

Pertumbuhan pada bulan September itu didorong oleh perdagangan borong dan perdagangan runcit, manakala subsektor kenderaan bermotor mengalami penurunan.

 

dosm

 

Ia berkata, perdagangan borong menyumbang RM66.5 bilion kepada jualan sektor terbabit, meningkat sebanyak 3.6%.

 

"Pertumbuhan ini disokong terutamanya oleh permintaan kukuh dalam jualan borong barang isi rumah dan jualan borong makanan, minuman & tembakau, kedua-duanya mencatatkan peningkatan 7.9%.

 

"Bagaimanapun, terdapat penurunan ketara sebanyak 2.6% dalam kategori lain-lain pengkhususan jualan borong," katanya.

 

DOSM berkata, perdagangan runcit, dengan jumlah nilai jualan sebanyak RM64.4 bilion, terus menunjukkan ketahanan dengan pertumbuhan sebanyak 5.5%.

 

Katanya, pemacu utama dalam subsektor ini adalah jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang meningkat sebanyak 6.2%, serta jualan runcit di kedai pengkhususan dan jualan runcit barangan isi rumah, yang masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 5.7% dan 3.8%.

 

"Permintaan berterusan dalam perbelanjaan isi rumah ini menunjukkan keyakinan pengguna yang tinggi dan persekitaran ekonomi yang stabil," katanya.

 

Sementara itu, menurut DOSM subsektor kenderaan bermotor mencatatkan penyusutan sederhana sebanyak satu peratus dalam jualan, berjumlah RM17.3 bilion, khususnya jualan kenderaan bermotor mengalami penurunan yang lebih ketara sebanyak 10.3%.

 

Ia berkata, penurunan ini mungkin sebahagiannya dipengaruhi oleh peraturan baharu yang diperkenalkan pada Ogos lalu, yang melaraskan syarat pembiayaan dan boleh mendorong pengguna untuk menilai semula keputusan pembelian ketika mereka menyesuaikan diri dengan terma pinjaman yang dikemas kini. - DagangNews.com