Jualan kenderaan susut 15% pada September 2024 kepada 58,032 unit - MAA | DagangNews Skip to main content

Jualan kenderaan susut 15% pada September 2024 kepada 58,032 unit - MAA

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

Kuala Lumpur 15 Okt - Jumlah Volum Industri (TIV) pada September susut 15% kepada 58,032 unit berbanding 68,174 unit pada bulan sama tahun lalu, kata Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

 

Pada bulan dikaji, perangkaan persatuan itu menunjukkan kenderaan penumpang mencatatkan jualan sebanyak 52,922 unit, jatuh 14% berbanding 61,548 unit tahun sebelumnya.

 

Jualan kenderaan komersial juga dilihat merosot sebanyak 23% kepada 5,110 unit pada September 2024 berbanding 6,626 unit pada bulan sama 2023.

 

"Jumlah keseluruhan industri (TIV) untuk September 2024 adalah 20% lebih rendah berbanding Ogos 2024 (72,367 unit).

 

"Ia berikutan bulan bekerja yang singkat dan pengguna mengamalkan sikap tunggu dan lihat sementara menunggu pengumuman Belanjawan 2025," katanya dalam satu kenyataan.

 

MAA berkata, TIV bagi tempoh Januari hingga September 2024 adalah 4% lebih tinggi kepada 594,037 unit berbanding 571,957 unit dalam tempoh sama 2023.

 

"Terdapat juga peningkatan sebanyak 6% dalam kenderaan penumpang yang dijual pada 2024 kepada 543,903 unit daripada 512,951 unit. Bagaimanapun, terdapat penurunan 15% dalam kenderaan komersial kepada 50,134 unit daripada 59,006 unit," katanya

 

Pada bulan Julai, MAA menaikkan unjuran jualan kenderaannya untuk tahun ini sebanyak 3.38% berikutan jualan kukuh pada separuh pertama 2024.

 

TIV dijangka masuk pada 765,000 unit untuk 2024 berbanding 740,000 unit yang diunjurkan pada awal tahun.

 

Sementara itu, jumlah kenderaan yang dijual setakat tahun ini iaitu sebanyak 533,301 unit, sekurang-kurangnya 231,699 unit lagi perlu dijual dalam tempoh empat bulan akan datang untuk mencapai sasaran MAA. - DagangNews.com