KUALA LUMPUR 2 Dis - Kadar penggunaan platform penggerudian Velesto Energy Bhd berdepan tekanan pada 2025 sekiranya Naga 8 tidak berjaya mendapatkan kontrak baharu, kata TA Securities.
Katanya, kumpulan itu merancang memanfaatkan masa henti bagi mempercepatkan proses tinjauan berkala khas (SPS) Naga 8 dan menjadikan semua pelantar bebas SPS sehingga 2027 selepas 1QFY25.
Firma penyelidikan itu berkata, risikan pasaran kumpulan menunjukkan permintaan pelantar jack-up Asia Tenggara diramal menurun pada 2025 sebelum meningkat semula pada 2026.
"Di Malaysia, permintaan dijangka berkurangan daripada kira-kira 10 armada kepada enam armada.
"Sementara itu, kadar penggunaan pasaran pelantar jack-up global telah memuncak pada 93% dan diramalkan berkurangan kepada 86% menjelang akhir 2026," katanya dalam tu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, Velesto menerima notis penggantungan kontrak pelantar jack-up Naga 8 daripada Carigali Hess Operating Company Sdn Bhd, berkuat kuasa 10 Februari 2025, atau setelah penyelesaian awal program penggerudian.
Secara berasingan, Naga 3 kekal ditempatkan di Vietnam kerana keadaan cuaca buruk tetapi akan ditarik balik ke Labuan untuk SPS.
Naga 5 dijangka mengalami keadaan statik yang berpanjangan pada 2025, kerana rundingan kontrak sedang berjalan.
Firma penyelidikan meningkatkan unjuran pendapatan FY24 sebanyak 24.4% untuk mengambil kira prestasi yang lebih kukuh daripada jangkaan dalam 3QFY24.
Bagaimanapun, penggantungan Naga 8 dan prospek mencabar yang dijangkakan, pihaknya menurunkan ramalan FY25 dan FY26 masing-masing sebanyak 41% dan 58%, selepas menyemak semula kadar penggunaan sebanyak 2-5 mata peratusan dan kadar sewaan harian sebanyak 4-9%.
"Kami menurunkan penarafan kumpulan kepada "pegang" daripada "beli" dengan harga sasaran (TP) 17 sen sesaham," katanya.- DagangNews.com