KUALA LUMPUR 3 Jan - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penangguhan sementara pembayaran denda sebanyak RM415.5 juta kepada lima syarikat pengeluar makanan ayam berhubung dakwaan penglibatan dalam kartel makanan ayam.
Hakim Datuk Amarjeet Singh Serjit Singh, memberi penangguhan itu selepas peguam Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Jason Teoh dari firma guaman Jason Teoh & Partners, memaklumkan bahawa mereka akan mengemukakan afidavit untuk menunjukkan bahawa denda yang perlu dibayar oleh lima syarikat pengeluar makanan ayam tersebut, tidak akan memberi kesan kepada industri ternakan ayam seperti yang didakwa.
Sekumpulan peguam yang mewakili lima syarikat pengeluar makanan ayam itu memohon penangguhan secara tetap terhadap jumlah denda, sementara menunggu keputusan semakan kehakiman terhadap denda MyCC.
Peguam-peguam bagi pengeluar makanan ayam tersebut berhujah, pembayaran denda tersebut akan memberi kesan besar terhadap industri ayam di negara ini dan akan menjejaskan rantaian bekalan ayam, sekali gus memberi impak kepada orang awam.
Mereka berkata, jika denda dibayar sekarang dan kemudian dikembalikan selepas rayuan dan semakan kehakiman, ia akan memberi kemudaratan yang besar kepada industri berkenaan.
Teoh dan peguam lain bagi MyCC, Mervyn Lai, menolak hujah tersebut dengan menyatakan, lima syarikat berkenaan hanya mewakili 30 daripada syarikat pengeluar makanan ayam di negara ini, maka pembayaran denda tersebut tidak akan memberi kesan kepada orang awam.
Hakim Amarjeet kemudian meminta Teoh untuk mengemukakan afidavit mengenai perkara berkenaan dan memberikan penangguhan sementara tersebut.
Beliau kemudian menetapkan afidavit untuk difailkan pada 31 Januari 2025, penghantaran hujah pada 21 Mac 2025 dan pendengaran kes pada 8 April 2025.
Amarjeet juga membenarkan permohonan semakan kehakiman bagi pengeluar makanan ayam tersebut.
Ini bermakna mahkamah akan mendengar hujah-hujah bagi dan menentang semakan kehakiman dan akan menentukan sama ada terdapat asas untuk semakan kehakiman yang sebenar.
Pada Disember 2023, MyCC mengenakan penalti terkumpul berjumlah RM415.5 juta terhadap lima pengilang makanan yang menguasai 40% pasaran atas dakwaan bersubahat meningkatkan kuantum harga makanan ayam.
Ia adalah denda terbesar yang pernah dikenakan oleh MyCC sepanjang 12 tahun penubuhannya.
Lima syarikat tersebut adalah Leong Hup Feedmill Malaysia Sdn Bhd, Gold Coin Feedmills (Malaysia) Sdn Bhd, FFM Berhad, Dindings Poultry Development Centre Sdn Bhd dan PK Agro-Industrial Products (M) Sdn Bhd.
MyCC mendapati, lima syarikat itu melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 dengan mengadakan perjanjian anti-persaingan dan/atau amalan bersepadu dalam meningkatkan harga makanan ayam yang mengandungi tepung kacang soya dan jagung sebagai bahan utama, antara awal 2020 dan pertengahan 2022.
Berdasarkan penyiasatan yang dijalankan, MyCC mendapati terdapat sebanyak 29 pengilang makanan ayam di negara ini, dengan lima syarikat yang terlibat menguasai sekitar 40% daripada jumlah bahagian pasaran. - DagangNews.com