KDNK Malaysia diramal menyederhana kepada 4.9% pada 2025 kesan cabaran domestik dan dasar baharu Trump - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

KDNK Malaysia diramal menyederhana kepada 4.9% pada 2025 kesan cabaran domestik dan dasar baharu Trump - Maybank IB

Gambar panorama Kuala Lumpur oleh Joshua Kettle
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Jan - Maybank Investment Bank (Maybank IB) meramalkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menyederhana kepada 4.9% pada 2025 berbanding 5.2% kesan cabaran domestik serta dasar baharu yang bakal diperkenalkan Donald Trump.

 

Katanya, antara fator domestik yang perlu diberikan perhatian termasuk kitaran menaik pelaburan Malaysia yang sedang dalam aliran pembentukan modal tetap kasar kerana momentum teguh yang berterusan dalam pelaburan yang diluluskan sejak 2021 diterjemahkan kepada peningkatan pelaburan sebenar.

 

Ia sejajar dengan aliran menaik dalam kadar pelaksanaan pelaburan pembuatan yang diluluskan, import barangan modal, pinjaman sistem perbankan untuk "bangunan industri, kilang dan tanah" dan pendapatan korporat.

 

"Kedua, langkah meningkatkan pendapatan dalam Belanjawan 2025 akan meningkatkan perbelanjaan pengguna iaitu kenaikan gaji dan pencen perkhidmatan awam yang melibatkan tambahan RM12.3 bilion peruntukan untuk emolumen dan caj persaraan dalam perbelanjaan mengurus Kerajaan Persekutuan.

 

"Jumlah pemberian tunai yang lebih tinggi kepada kumpulan berpendapatan rendah (Belanjawan 2025: RM13 bilion ; Belanjawan 2024: RM10.7 bilion; Belanjawan 2023: RM8.13 bilion); kenaikan, lanjutan dan penambahan dalam pelepasan cukai pendapatan peribadi; dan kenaikan gaji minimum bulanan 13.3% kepada RM1,700 daripada RM1,500," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, bagi pelaburan awam, ia meramalkan kadar pertumbuhan yang lebih perlahan sebanyak 4.8% pada 2025 berbanding 11.5% pada 2024.

 

Faktor itu antara lain, komitmen perbelanjaan modal yang berterusan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan dana pelaburan berkaitan kerajaan (GLIF) di bawah Program Pengaktifan dan Pembaharuan Entiti Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP).

 

Di bawah GEAR-uP, GLC dan GLIF dijangka melakukan RM120 bilion dalam pelaburan langsung domestik dalam tempoh lima tahun akan datang, denganperuntukan awal RM25 bilion pada 2025.

 

Faktor lain ialah perbelanjaan pembangunan kasar negara sebanyak RM86 bilion pada 2025 dan ketidaktentuan terhadap perbelanjaan modal Petronas di tengah-tengah "tergantung" dalam pemindahan kawalan minyak dan gas dan hak kepada syarikat milik kerajaan Sarawak, Petroleum Sarawak Bhd (Petros).

 

Firma penyelidikan itu berkata, faktor luaran yang perlu diberi fokus pada 2025 ialah dasar Tump 2.0, kadar faedah Amerika Syarikat (AS) dan tindak balas dasar China terhadap pendekatan Trump.

 

Bagaimanapun, risiko inflasi daripada dasar pro-pertumbuhan Trump 2.0 – dan anti-pendatang – akan menyebabkan pemotongan kadar faedah Fed AS yang lebih rendah pada 2025 daripada -75bps selepas anggaran -100bps pada 2024 kerana laluan ke arah sasaran inflasi 2% mungkin bertukar mencabar.

 

"Pada masa yang sama, retorik tarif Trump 2.0 akan dimainkan berbanding realiti dalam prospek ekonomi global. 

 

"Sebagai tindak balas kepada ancaman tarif Trump 2.0, kami menjangkakan China akan mengumumkan rangsangan monetari dan fiskal selanjutnya pada tahun 2025 - termasuk pemotongan kadar faedah tambahan dan defisit bajet yang lebih besar bertujuan untuk meningkatkan permintaan domestik, terutamanya perbelanjaan pengguna," katanya. - DagangNews.com