Kejayaan raih projek baharu, buku pesanan Gamuda meningkat kepada RM31.8 bilion - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Kejayaan raih projek baharu, buku pesanan Gamuda meningkat kepada RM31.8 bilion - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Dis - Kejayaan meraih projek bernilai RM1.8 bilion di Australia menyaksikan buku pesanan Gamuda Bhd meningkat kepada RM31.8 bilion sejajar dengan sasaran antara RM30 bilion dan RM35 bilion menjelang penghujung 2024.

 

Kenanga Research berkata, pekerjaan yang sedang dalam perancangan termasuk LRT Pulau Pinang, loji rawatan air Sabah serta beberapa projek pusat data di Australia. 

 

Firma penyelidikan itu juga mengekalkan sasaran buku pesanan tertunggak pada akhir 2025 antara RM40 bilion dan RM45 bilion.

 

"Kami yakin terhadap prospek Gamuda memandangkan keupayaannya untuk mendapatkan pekerjaan baharu dan dengan kemenangan projek kelima pada FY25 ini, kumpulan itu telah memperoleh kontrak keseluruhan berjumlah RM8.47 bilion.

 

"Ini juga merupakan pekerjaan kedua yang diterima untuk DT Infrastructure Pty Ltd pada FY25. Walaupun margin sebelum cukai antara 4% hingga 5% lebih rendah daripada 10% Malaysia, kami selesa memandangkan profil risikonya yang agak rendah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Gamuda menerusi anak syarikat di Australia terima kontrak RM1.8 bilion bagi projek Ladang Solar Sungai Goulburn

 

Terdahulu, Gamuda berkata, peranan DT Infrastructure dalam projek itu termasuk pembinaan infrastruktur sivil, struktur, dan elektrik yang diperlukan untuk ladang solar berkapasiti 585 megawatt (MW) yang akan bermula pada 1 Januari 2025.

 

Projek Sungai Goulburn adalah contoh hebat New South Wales terus melabur secara signifikan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, selaras dengan sasaran kerajaan Australia untuk mencapai 82% tenaga boleh diperbaharui (RE) dalam grid elektrik negara menjelang 2030.

 

Kenanga Research menyukai Gamuda kerana menjadi pendahulu untuk mendapatkat projek LRT Pulau Pinang serta keupayaannya mendapatkan pekerjaan baharu di pasaran luar negara.

 

Katanya, pada masa sama, kumpulan itu mempunyai keterlihatan pendapatannya yang kukuh menyokong dengan buku pesanan tinggi serta penyertaannya ke dalam ruang RE.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "outperform" dengan harga sasaran (TP) RM10.80 sesaham. - DagangNews.com