Keluarga Teh kurangkan pegangan saham Public Bank kepada 10% dalam tempoh 5 tahun  | DagangNews Skip to main content

Keluarga Teh kurangkan pegangan saham Public Bank kepada 10% dalam tempoh 5 tahun 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Dr. Tay Ah Lek dan anak perempuan bongsu mendiang Tan Sri Dr. Teh Hong Piow, Diona Teh Li Shian semasa majlis menandatangani perjanjian jual beli bersyarat di Menara Public Bank
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Okt - Estet Mendiang Tan Sri Dr. Teh Hong Piow dan Consolidated Teh Holdings Sdn Bhd, pemegang saham terbesar Public Bank Bhd menawarkan unit tawaran terhad untuk dijual (ROFS) saham dalam syarikat kepada pekerja, pelabur dan pengarah yang layak.

 

Consolidated Teh Holdings merupakan syarikat swasta milik keluarga Teh.

 

Diona Teh Li Shian berkata, pelaksanaan koporat tersebut akan dijalankan dalam tempoh lima tahun seiring dengan Akta Kewangan dan Perkhidmatan.

 

ROFS itu akan menyaksikan keluarga Teh mengurangkan pegangan sahamnya dalam Public Bank kepada 10%.

 

Pada masa ini, estet itu memegang 23.41% saham dalam bank itu, di mana 22.77% daripadanya dipegang melalui Consolidated Teh Holdings (setakat 29 Februari 2024), berdasarkan laporan tahunan terkini bank itu.

 

Butiran tawaran terhad untuk jualan akan diumumkan kemudian.

 

Li Shian memetik sentimen bapanya yang sering memberitahu, kejayaan Public Bank bukanlah kejayaan dibina atas kepercayaan dan kesetiaan pemegang-pemegang saham serta komitmen berterusan kakitangannya, atau apa yang beliau panggil sebagai “keluarga korporat” beliau.

 

“Sebagai menghormati legasi beliau dan sebagai tanda penghargaan, kami akan mengagihkan sebahagian daripada saham Public Bank, pada harga diskaun, kepada semua kakitangan, pengarah dan pemegang saham Kumpulan Public Bank yang layak. 

 

"Inisiatif ini bertujuan untuk memastikan Public Bank kekal dalam genggaman mereka yang memastikan pertumbuhan dan kejayaannya,” katanya semasa majlis tandatangan perjanjian jual beli pada Khamis.

 

Beliau turut berkata, walaupun pengambilalihan strategik tu akan memperkemaskan kepentingannya, beliau menegaskan sekali lagi komitmen yang teguh dan tidak berbelah bahagi untuk kekal sebagai pemegang saham utama Public Bank.

 

"Ini bukan hanya peranan atau hak milik kami, ia merupakan penghormatan dan tanggungjawab yang akan kami pupuk dengan penuh kasih sayang. 

 

"Kami akan terus menumpukan untuk meneruskan legasi bapa saya dan akan terus menerajui institusi terhormat ini,” katanya. 

 

Apabila ditanya semasa sesi siding media tentang rancangan beliau untuk menyertai lembaga pengarah bank itu, Li Shian menjawab pasukan pengurusan akan mengekalkan status quo.

 

“Keluarga Teh tidak mempunyai sebarang rancangan untuk menyertai lembaga pengarah. 

 

"Public Bank telah diketuai oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Tay Ah Lek, dan ia telah menjadi pasukan yang sangat berdedikasi.

 

"Pada masa ini, kami tidak melihat apa-apa perubahan dalam perkara ini, dan kami mengharapkan beliau mengetuai pasukan ke hadapan,” katanya.- DagangNews.com