Saham 3REN meningkat 19.6% semasa penampilan sulung di Pasaran ACE | DagangNews Skip to main content

Saham 3REN meningkat 19.6% semasa penampilan sulung di Pasaran ACE

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Nov - Saham 3REN Bhd membuat penampilang sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini pada 33.5 sen, atau peningkatan 19.6% berbanding tawaran awam permulan (IPO) sebanyak 28 sen seunit.

 

Sebagai sebahagian daripada pelaksanaan IPO, yang melibatkan terbitan awam sebanyak 110 juta saham baharu, 3REN berjaya mengumpul RM30.8 juta, dengan RM19.2 juta diperuntukkan untuk pengembangan perniagaan manakala baki selebihnya sebanyak RM11.6 juta akan disalurkan ke arah pembayaran balik pinjaman bank dan untuk membayar perbelanjaan penyenaraian.

 

Di bawah pengembangan perniagaan, RM7.2 juta akan digunakan untuk menubuhkan pusat penghantaran baharu, RM5.1 juta untuk perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan, RM3 juta untuk menubuhkan pejabat baharu Singapura dan RM3.9 juta untuk modal kerja.

 

Pengarah Eksekutif & Ketua Pegawai Eksekutif 3REN, Koh Dim Kuan berkata, kumpulan itu berada di tengah-tengah industri semikonduktor yang berkembang pesat disokong oleh pemacu permintaan utama yang datang daripada revolusi teknologi, yang merangkumi teknologi seperti kecerdasan buatan, 5G dan Internet Kebendaan (IoT).

 

"Asia Tenggara muncul sebagai kawasan tumpuan untuk aktiviti pembuatan berikutan peningkatan permintaan untuk aktiviti penyumberan luar yang akan menjadi pemangkin kukuh memandangkan pemodenan dan transformasi kemudahan pembuatan ke arah Industri 4.0 dan 5.0, menyediakan 3REN ruang untuk meneruskan pertumbuhannya.

 

"Pelan strategik kami memberi petanda positif untuk kami menguasai bahagian pasaran yang lebih tinggi dan kami menantikan perkembangan seterusnya," katanya.

 

KAF Investment Bank Berhad ialah penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal untuk pelaksanaan IPO ini.- DagangNews.com