Kenaikan levi sebanyak 10% terhadap eksport minyak sawit mentah Indonesia bakal menyebabkan negara itu kurang berdaya saing - Gapki | DagangNews Skip to main content

Kenaikan levi sebanyak 10% terhadap eksport minyak sawit mentah Indonesia bakal menyebabkan negara itu kurang berdaya saing - Gapki

Gambar NAIM AZIZ/Dagangnews

JAKARTA 26 Dis - Perancangan kenaikan levi eksport minyak sawit mentah (MSM) kepada 10% tahun depan boleh menyebabkan pengeluar tempatan kurang berdaya saing di pasaran antarabangsa, kata Gabungan Pengusaha Kelapa Sawit Indonesia (Gapki). 

 

Kerajaan pada masa ini mengenakan levi 7.5% ke atas eksport MSM, manakala kadar yang lebih rendah antara 3% dan 6% daripada harga rujukan dikenakan kepada produk minyak sawit ditapis.

 

Pengerusi Gapki, Eddy Martono berkata, peningkatan levi eksport akan menjadikan minyak sawit Indonesia (eksport) kurang berdaya saing berbanding negara jiran. 

 

Menteri Penyelaras Ekonomi, Airlangga Hartarto berkata, kenaikan levi eksport MSM akan membantu kerajaan meneruskan program mandatori 40% biodiesel berasaskan minyak sawit (B40), yang akan dikuatkuasakan pada Januari 2025.

 

Reuters berkata, levi itu akan dilaksanakan sebaik sahaja Kementerian Kewangan mengeluarkan peraturan berkaitan.

 

Program biodiesel itu bertujuan mengurangkan pergantungan negara kepada diesel yang diimport sambil meningkatkan permintaan untuk minyak sayuran keluaran dalam negara.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Indonesia naikkan levi eksport minyak sawit mentah kepada 10% daripada levi semasa 7.5%

 

Sementara itu, kerajaan telah menguji biofuel B40 pada bulan Julai untuk menggerakkan kereta api serta kereta dan trak dengan menggunakan campuran biodiesel B35 yang tersedia pada masa ini.

 

Bagaimanapun, perniagaan bimbang program biodiesel yang dinaik taraf, ditambah dengan levi yang lebih tinggi, akan menurunkan jumlah keseluruhan eksport MSM, terutamanya dalam keadaan pengeluaran domestik yang tidak stabil. - DagangNews.com