Kenanga Research jangka saingan sengit dalam pasaran terus beri impak kepada pendapatan SLP Resources | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research jangka saingan sengit dalam pasaran terus beri impak kepada pendapatan SLP Resources

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Nov - Kenanga Research menjangkakan saingan sengit di dalam pasaran akan terus memberi impak kepada SLP Resources Bhd terutama selepas kumpulan itu merekodkan pendapatan sembilan bulan berakhir 30 September 2024 (9MFY24) berada di bawah jangkaan.

 

Katanya, jumlah dagangan bagi tempoh itu hanya meningkat 1% kepada RM121 juta disebabkan hasil dan margin suku ketiga (3QFY24) yang lebih lemah apabila ringgit mengukuh pada suku tersebut.

 

Selain itu, kos resin yang lebih tinggi kesan daripada kadar pertukaran mata wang asing yang kurang menguntungkan juga memberi kesan kepada margin 3QFY24.

 

“Bagaimanapun, keuntungan bersih teras kumpulan meningkat 14% tahun ke tahun hasil daripada elaun pelaburan semula cukai pada 3QFY24 dan eksport yang lebih kukuh ke Jepun, yang mungkin berterusan apabila musim cuti akhir tahun meningkatkan pelancongan dan penggunaan," katanya dalam satu nota kajian.

 

Kenanga Research mengurangkan unjuran pendapatan FY24 dan FY25 sebanyak 8% setiap satu, ditambah harga sasaran saham sebanyak 5% kepada RM1 (daripada RM1.05).

 

"Tetapi kami mengekalkan panggilan 'outperform' disokong hasil dividen yang menarik lebih daripada 5%.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan pemulihan sederhana dalam permintaan untuk produk pembungkusan plastik SLP, didorong oleh pesanan dari Jepun apabila sektor pelancongan mereka meningkatkan penggunaan.

 

Pasaran Jepun menyumbang 30% hingga 40% daripada jumlah jualan pembungkusan plastik SLP, terutamanya beg dapur dan beg sampah, disebabkan kualiti unggul dan pematuhan piawaian kemampanan melalui teknologi pengukuran rendah.

 

“SLP kekal komited terhadap tawaran premium, seperti filem MDO-PE yang boleh dikitar semula sepenuhnya, meletakkan dirinya untuk memanfaatkan peralihan ke arah pembungkusan mampan.

 

"Kadar penggunaan untuk filem MDO-PEnya telah meningkat kepada lebih 30% (daripada 20% pada 1Q24 2024) dengan lebih banyak pertanyaan daripada pasaran domestik dan ASEAN.

 

"Bagaimanapun, kami menjangkakan tekanan kos daripada utiliti yang lebih tinggi, kos logistik dan gaji minimum akan berterusan, yang berpotensi mempengaruhi margin melalui 4QFY24 dan FY25, walaupun ini mungkin sebahagiannya diimbangi oleh automasi buruh dan pelepasan kos kepada pelanggan," katanya. - DagangNews.com