KUALA LUMPUR 4 Dis - Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) dan pertubuhan Article 19, menggesa kerajaan untuk menangguhkan bacaan kedua Rang Undang-Undang Pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) 1998 di Dewan Rakyat sehingga rundingan awam dan pihak berkepentingan dijalankan.
Kedua-dua organisasi itu berkata, pindaan yang dianggap 'ketinggalan' itu melanggar hak kebebasan bersuara dan privasi yang dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.
Menurut mereka, kerajaan merosakkan manifesto pilihan raya Pakatan Harapan untuk mengkaji semula dan memansuhkan peruntukan yang melampau dalam akta yang menyekat kebebasan bersuara, termasuk CMA.
"Sebaliknya, kerajaan telah memperkenalkan pindaan yang lebih menyekat hak. Selama bertahun-tahun, kerajaan terus menyalahgunakan CMA sebagai alat untuk mengehadkan kebebasan bersuara," kata mereka dalam satu kenyataan bersama semalam.
Menurut CIJ dan Article 19, pindaan yang dicadangkan akan memberikan kuasa berlebihan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Menteri Komunikasi, membolehkan mereka mengawal dan membenarkan tapisan tertentu.
Sebagai contoh, mereka menyatakan, dalam Seksyen 51 Rang Undang-Undang tersebut, kuasa MCMC untuk mengeluarkan arahan bertulis secara signifikan memperluaskan peranan asalnya, membolehkan ia memperketat peraturan di bawah akta sama.
"Klausa tanpa sekatan ini akan membenarkan kuasa secara arbitrari tanpa pengawasan perundangan, berisiko mengakibatkan campur tangan secara sewenang-wenangnya terhadap kebebasan bersuara," katanya.
Kedua-dua kumpulan itu juga merujuk kepada pindaan yang dicadangkan kepada Seksyen 51A untuk memberi MCMC atau mana-mana anggotanya kekebalan daripada pendakwaan atau prosiding lain apabila melaksanakan 'amalan baik' di bawah akta.
"Klausa ini, yang mengandungi istilah tidak jelas, membolehkan penyalahgunaan kuasa dan pelanggaran hak asasi manusia, membenarkan pegawai awam terlibat mengelak daripada dikenakan hukuman.
CIJ dan Article 19 juga menyatakan kebimbangan terhadap Seksyen 233 yang mengandungi istilah luas dan kabur seperti 'perasaan jijik akibat penggambaran lucah' (Penjelasan 1), 'kandungan yang bersifat kotor' (Penjelasan 2), 'ancaman jahat' (Penjelasan 5), 'rujukan kasar' (Penjelasan 6) dan 'ucapan kebencian' (Penjelasan 6).
"Kami amat bimbang dengan terma 'ucapan kebencian' di bawah peruntukan yang dipinda. Apa yang dianggap 'amat menyinggung' gagal memenuhi piawaian antarabangsa bagi sekatan terhadap ucapan dan luahan," kata mereka.
Kumpulan-kumpulan tersebut menyeru pemansuhan Seksyen 233, dengan alasan peruntukan tersebut bertindan dan kesalahan-kesalahannya telah pun dilindungi di bawah Kanun Keseksaan.
Pindaan yang dicadangkan juga termasuk denda yang lebih tinggi dan hukuman penjara yang lebih lama untuk beberapa kesalahan, menimbulkan persoalan tentang keadilan dan kesesuaian.
CIJ dan Article 19 berkata, walaupun Malaysia boleh mengenakan sekatan untuk melindungi kepentingan yang sah seperti keselamatan negara dan ketenteraman awam, sekatan tersebut mesti ditakrifkan dengan jelas, berasaskan bukti yang seimbang.
"Pindaan yang dicadangkan tidak memenuhi piawaian ini dan merupakan langkah terkebelakang yang membimbangkan dalam melindungi hak asasi manusia di Malaysia," kata mereka.
Rang Undang-Undang pindaan CMA telah dibaca kali pertama di Dewan Rakyat pada Isnin. - DagangNews.com