"Keretakan bangunan J Satine bukan berpunca daripada kami"- TCS Group | DagangNews Skip to main content

"Keretakan bangunan J Satine bukan berpunca daripada kami"- TCS Group

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Nov - TCS Group Holdings Bhd, kontraktor utama projek pembangunan bercampur J Satine di Wangsa Maju menegaskan, keretakan bangunan itu bukan berpunca daripada mereka.

 

Pengarah Urusan TCS, Datuk Ir Tee Chai Seng berkata, pihaknya memeri jaminan kepada semua pihak berkepentingan yang kumpulan itu mematuhi semua standard dan protokol kesihatan dan keselamatan sepanjang proses pembinaan.

 

Katanya, pihaknya juga akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berkaitan dalam siasatan terhadap punca kejadian.

 

"Kami amat mengambil berat terhadap kejadian itu dan kami bekerjasama rapat dengan pemaju dan perunding untuk mencari punca sebenar.

 

"Siasatan awal menunjukkan keretakan bangunan bukan disebabkan oleh kami. Untuk semua projek, kami komited memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua yang terlibat dan untuk menyampaikan projek yang memenuhi standard kualiti dan integriti tertinggi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Terdahulu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan kerja-kerja pembinaan di tapak pembinaan J Satine dihentikan susulan laporan berlaku letupan di tapak berkenaan disebabkan kegagalan struktur di Blok C.

 

Siasatan tapak dijalankan oleh DBKL mendapati terdapat keretakan pada struktur 'shear wall', tiang dan lantai pada unit-unit yang berada di tingkat 8 dan ke atas.

 

Sehubungan itu, DBKL menerusi satu notis di bawah seksyen 70B(2), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) telah dikeluarkan kepada pihak perunding serta mengarahkan supaya diambil beberapa tindakan termasuk memberhentikan semua kerja-kerja pembinaan.

 

Tindakan lain, menyelenggara tapak bina supaya berada di dalam keadaan bersih dan selamat, melantik jurutera bebas bagi menjalankan pemeriksaan integriti struktur keseluruhan pembangunan J Satine, mengemukakan laporan iaitu hasil dari pemeriksaan integriti struktur serta menjalankan kerja-kerja rektifikasi berdasarkan pengesyoran daripada jurutera bebas.- DagangNews.com