KUALA LUMPUR 20 Dis - Kerjasama baharu Eco World Development Group Bhd (EcoWorld) dengan SD Guthrie Bhd dan NS Corp Sdn Bhd bagi bersama-sama membangunkan taman perindustrian di Negeri Sembilan merupakan perjanjian "menang-menang" untuk semua pihak yang terlibat, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Katanya, kawasan seluas 471.86 hektar yang terletak di Bukit Pelandok dalam Lembah Wawasan Malaysia 2.0 dan berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), mempunyai anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM2.9 bilion.
“Kami melihat ini secara positif kerana perkongsian strategik itu memanfaatkan kekuatan unik kedua-dua SD Guthrie dan EcoWorld, memacu pertumbuhan bersama dan penciptaan nilai jangka panjang,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Sebagai antara pemilik tanah terbesar di Malaysia, firma penyelidikan itu menyatakan bahawa SD Guthrie membawa "perkakasan" berharga dalam bentuk simpanan tanahnya yang luas.
Sementara itu, EcoWorld, sebagai pemaju hartanah terkemuka di negara ini dengan kehadiran jenama yang kukuh dan rekod prestasi yang terbukti, memainkan peranan penting dalam membuka potensi penuh bank tanah ini.
Maybank IB percaya, penjenamaan kukuh EcoWorld akan meningkatkan nilai hartanah dengan ketara, menjadikannya lebih menarik dan boleh dipasarkan kepada bakal pemilik perniagaan dan pelabur.
Sementara menunggu butiran lanjut, firma penyelidikan itu mengekalkan ramalan pendapatannya untuk kumpulan itu.
Firma penyelidikan itu mengekalkan panggilan “beli” ke atas EcoWorld dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM2.25 sesaham.
Dalam pada itu, MIDF Research neutral tetapi condong ke arah positif terhadap kerjasama itu yang dipercayai akan mengembangkan portfolio pembangunan hartanah infustri kumpulan itu.
Katanya, pemaju hartanah itu sedang berusaha mengembangkan bahagian hartanah perindustriannya kerana kepakarannya dalam segmen itu dan permintaan tinggi untuk hartanah perindustrian di Malaysia.
MIDF Research mengekalkan saranan "neutral" ke atas saham itu dengan TP tidak berubah sebanyak RM2.01 sesaham.
"Kami berpendapat harga positif telah banyak ditentukan kerana EcoWorld didagangkan melebihi nilai aset ketara bersih terkininya sebanyak RM1.66 sesaham," katanya. - DagangNews.com