KUALA LUMPUR 11 Nov - Syarikat pembinaan, Kerjaya Prospek Group Berhad (Kerjaya) mengumumkan bahawa anak syarikat milik penuhnya, Futuprop Sdn. Bhd., telah memeterai perjanjian usaha sama bersama Aspen Vision Development Sdn. Bhd. (Aspen Vision) untuk menjalankan pembangunan bercampur di atas tanah seluas 14.6 hektar di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.
Pembangunan itu akan merangkumi 338 unit rumah mampu milik, 1,680 unit kediaman, 1,680 unit apartmen servis, serta kedai runcit komersial dan pejabat.
Pembinaan dijangka bermula pada penghujung 2024 dan dirancang untuk disiapkan secara berperingkat dalam tempoh tujuh tahun.
Tanah tersebut terletak berhampiran dengan Penang Sentral, sebuah hab pengangkutan utama yang akan dilengkapi dengan terminal Transit Aliran Ringan (LRT).
Pengembangan LRT di Penang Sentral, bersama dengan Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua yang akan datang, dijangka meningkatkan lagi aksesibiliti dan kesalinghubungan ke kawasan tersebut.
Lokasi itu juga menawarkan sambungan langsung ke Butterworth, Bukit Mertajam dan Pulau Pinang melalui Jambatan Pulau Pinang, serta akses dari utara melalui Lebuhraya Utara-Selatan.
Rivanis Ventures Sdn. Bhd., sebuah entiti khas yang ditubuhkan untuk usaha sama berkenaan, di mana Kerjaya memiliki 55% pegangan saham, manakala Aspen Vision memiliki baki 45%, akan menerajui pembangunan terbabit.
Sebagai pertimbangan untuk penjualan tanah tersebut bagi tujuan pembangunan yang dicadangkan, sebanyak RM156.5 juta akan diserahkan kepada pemilik tanah, terdiri daripada RM54.1 juta dalam bentuk tunai dan 338 unit rumah mampu milik mengikut spesifikasi Kategori C3 Rumah Mampu Milik yang ditetapkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang, bernilai RM102.4 juta.
Fasa seterusnya dalam pembangunan menyaksikan Rivanis Ventures diberikan hak pertama untuk menolak bagi membangunkan tanah bersebelahan seluas lapan hektar.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kerjaya, Tee Eng Tiong berkata, projek itu menawarkan peluang unik bagi Kerjaya untuk mewujudkan ruang kediaman dan komersial yang mampan dan berkualiti tinggi di Pulau Pinang.
"Usaha sama ini mencerminkan visi bersama kami untuk menyokong pembangunan bandar Pulau Pinang dan meningkatkan aksesibiliti untuk masyarakat.
"Hak pertama untuk pembangunan tanah bersebelahan pula memberikan potensi untuk pengembangan lanjut, mengukuhkan jejak kami di pasaran hartanah Pulau Pinang," katanya dalam satu kenyataan. - DagangNews.com