Kes influenza bermusim dipercayai tidak membawa lonjakan kepada permintaan sarung tangan, kata MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Kes influenza bermusim dipercayai tidak membawa lonjakan kepada permintaan sarung tangan, kata MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Jan - Kes influenza bermusim dipercayai tidak akan membawa kepada lonjakan permintaan sarung tangan di dalam pasaran, kata MIDF Research.

 

Katanya, walaupun wabak itu berleluasa, pengeluar sarung tangan Malaysia mungkin tidak menerima manfaat kerana China mempunyai kapasiti yang mencukupi.

 

Firma penyelidikan itu berkata, berita mengenai potensi penularan wabak Human Metapneumovirus (HMPV) "secara kebetulan" berlaku dengan permulaan kenaikan mendadak dalam tarif untuk sarung tangan buatan China ke Amerika Syarikat (AS) bermula 2025 dan seterusnya.

 

"Potensi penularan wabak masih tidak membimbangkan dan kami mengekalkan pendirian 'neutral' terhadap sektor sarung tangan.

 

"Walaupun China telah melaporkan mengalami lonjakan jangkitan virus pernafasan namun tiada sebarang peningkatan ketara dalam jumlah kes di negara itu pada Disember 2024," katanya dalam satu nota kajian.

 

MIDF Research berkata, sejak virus itu tersebar untuk beberapa waktu, terdapat lebih banyak imuniti terhadapnya berbanding virus baharu seperti COVID-19 sebelum ini.

 

Katanya, menurut Klinik Cleveland, HMPV ditemui pada 2001 dengan gejala seperti selesema biasa, termasuk batuk, demam, hidung tersumbat atau berair, sakit tekak, sesak nafas dan ruam.

 

Virus itu juga boleh menyebabkan komplikasi seperti bronkitis, radang paru-paru, asma atau jangkitan telinga dan merebak melalui titisan daripada batuk, bersin, sentuhan manusia dan menyentuh permukaan dan objek yang tercemar dengan virus.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kanak-kanak, orang dewasa yang lebih tua dan orang yang mempunyai sistem imun yang lemah lebih terdedah kepada virus.

 

"Berdasarkan data, influenza mendahului wabak dengan 30.2% ujian positif manakala HMPV hanya dikaitkan dengan 6.2% daripada ujian penyakit pernafasan.

 

"Di peringkat tempatan, 327 kes HMPV telah dikesan pada 2024, peningkatan sebanyak 45.3% tahun ke tahun," katanya. - DagangNews.com