Keuntungan suku kedua Ajinomoto meningkat 77% didorong jualan tinggi, kos bahan mentah rendah | DagangNews Skip to main content

Keuntungan suku kedua Ajinomoto meningkat 77% didorong jualan tinggi, kos bahan mentah rendah

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 19 Nov - Keuntungan bersih Ajinomoto (Malaysia) Bhd, melonjak 76.66% kepada RM18.29 juta pada suku kedua berakhir 30 September 2024 (2QFY2025), berbanding RM10.35 juta pada tahun sebelumnya, didorong oleh peningkatan jualan daripada kedua-dua segmen perniagaan pengguna dan industri, serta penurunan kos bahan mentah.

 

Pendapatan suku tahunan meningkat 11.61% kepada RM183.44 juta berbanding RM164.36 juta pada tahun lalu, menurut satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Perniagaan pengguna mencatatkan pendapatan RM137.3 juta, meningkat 8% berbanding RM127.1 juta tahun sebelumnya, manakala perniagaan industri mencatatkan kenaikan 23.8% dalam pendapatan kepada RM46.1 juta berbanding RM37.2 juta, susulan peningkatan jualan. 

 

Tiada dividen diumumkan bagi suku ini.

 

Bagi enam bulan pertama FY2025 (6MFY2025), keuntungan bersih syarikat melonjak 64.93% kepada RM37.22 juta berbanding RM22.57 juta pada 6MFY2024, dengan pendapatan terkumpul meningkat 13.42% kepada RM354.88 juta berbanding RM312.89 juta.

 

Mengenai prospek, kumpulan berkata, peningkatan terkini dalam ekonomi Malaysia dijangka meningkatkan sentimen pengguna dan memberi kesan positif terhadap jualan dan pengedaran produknya.

 

"Pengurusan akan memantau perubahan situasi dan keadaan pasaran, menilai impak terhadap perniagaan kami dan bertindak balas secara tepat pada masanya dengan strategi jualan yang berkesan serta langkah pemantauan kos," tambahnya.

 

Harga saham Ajinomoto ditutup naik lapan sen atau 0.54% pada RM14.88 pada Isnin, membawa modal pasaran kumpulan kepada RM905 juta. 

 

Berbanding dengan paras tertinggi penutupan terkini pada RM20.30 pada 3 Mei tahun ini, harga sahamnya telah jatuh sebanyak 27%. - DagangNews.com