KUALA LUMPUR 7 Jan - Anak syarikat Keyfield International Bhd (Keyfield), Keyfield Offshore Sdn Bhd, membeli sebuah kapal pembekalan platform (PSV) yang berusia lima tahun pada harga RM79.22 juta.
Kapal PSV yang dibeli daripada Sinocommerce Harbour Engineering Co Ltd itu, dinamakan Keyfield Gratitude (Gratitude).
Menurut Keyfield, pembiayaan Gratitude dibuat menerusi hasil sukuk syarikat.
"Syarikat akan akan menggunakan kira-kira RM9 juta daripada dana dalaman sebagai perbelanjaan modal tambahan bagi membawa Gratitude kembali ke Malaysia dan menyiapkannya untuk operasi," kata Keyfield dalam satu kenyataan.
Syarikat itu berkata, Gratitude akan digunakan dalam perniagaan penyewaan kapal untuk pelanggan bagi mengangkut bahan dan peralatan antara pantai dan platform luar pesisir.
Gratitude mempunyai kapasiti penginapan untuk 59 orang.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Keyfield dan Pengarah Eksekutif, Datuk Darren Kee berkata, sejak memperoleh kod PSV SWEC dan kontrak panel kontraktor pada November 2022 dan April 2024, syarikat mula membida kontrak penyewaan PSV.
"Kami percaya Gratitude akan menjadi tambahan yang sangat baik kepada armada kami kerana ia boleh digunakan untuk memenuhi bidaan kontrak-kontrak tersebut.
"Selain itu, ia sangat sesuai dengan strategi pengembangan perniagaan kami untuk memperluaskan tawaran perkhidmatan kepada pelanggan seperti yang digariskan dalam prospektus penawaran awam permulaan kami," katanya.
Kee berkata, syarikat yakin bahawa Gratitude akan memberi sumbangan kepada pendapatan Keyfield bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 dan seterusnya.
Beliau menambah, spesifikasi teknikal Gratitude juga ideal untuk keperluan penyewaan tempatan dan serantau. - DagangNews.com