Khazanah lancar inisiatif pengurusan dana modal, pupuk ekosistem pelaburan dinamik Malaysia  | DagangNews Skip to main content

Khazanah lancar inisiatif pengurusan dana modal, pupuk ekosistem pelaburan dinamik Malaysia 

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

Kuala Lumpur 15 Okt - Khazanah Nasional Bhd melancarkan Fund Managers’ Programme (EMP) dan Regional Fund Managers’ Initiative (RMI) yang akan dikelolakan di bawah National Fund-of-Funds (NFOF) susulan pemerolehan Pengurusan Modal Teroka Malaysia (MAVCAP) dan Penjana Kapital (PK) pada Julai tahun ini.

 

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, melalui pelancaran EMP, Khazanah menyasarkan untuk memastikan pertumbuhan pengurus dana modal teroka (VC) tempatan yang berterusan dan memupuk ekosistem VC yang dinamik di Malaysia. 

 

“Inovasi tanpa sempadan, ketersediaan modal, bakat dan teknologi adalah antara faktornya NFOF memberi tumpuan kepada penciptaan EMP, sambil menarik modal dan rakan kongsi antarabangsa.

 

"Usaha-usaha itu akan membolehkan penggabungan kepakaran, perspektif dan pengetahuan tempatan dan antarabangsa untuk merangsang ekosistem yang bertenaga dan seterusnya memacu kemajuan dan pertumbuhan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Di samping itu, Khazanah berkata, ekosistem syarikat permulaan akan mendapat manfaat daripada pengumpulan modal persendirian dan modal lain ke dalam para pengurus dana ini, yang seterusnya akan meningkatkan kehadiran syarikat permulaan yang dipacu inovasi di Malaysia.

 

“Dijadualkan bermula pada November 2024, EMP akan dibuka kepada semua rakan am di Malaysia, bertumpu kepada pengurus dana modal teroka yang mengumpul dana pertama, kedua atau ketiga dan berpangkalan di Malaysia atau di luar negara," katanya. 

 

Sebaliknya, beliau juga berkata, RMI menyasar untuk menarik pengurus dana antarabangsa yang komited memperkayakan ekosistem pelaburan, termasuk menyokong pertumbuhan syarikat permulaan Malaysia untuk menjadi pemain serantau dan global, serta memudahkan pemindahan syarikat global ke Malaysia untuk meluaskan keupayaan pekerjaan tempatan, menarik bakat dan mendalami inovasi.

 

“Antara lain, NFOF mengalu-alukan penjana teroka yang berwibawa untuk melahirkan usahawan baharu dan menyokong pertumbuhan usahawan sedia ada,” katanya. 

 

Khazanah berkata, inisiatif di bawah NFOF itu akan mendorong syarikat portfolio sedia ada mereka untuk mencipta lebih nilai dan impak dengan berkembang ke Malaysia.

 

"Langkah strategik itu bertujuan untuk memupuk perkongsian dan kerjasama dengan syarikat Malaysia untuk merintis inisiatif yang akan menghasilkan pemindahan teknologi dan pengetahuan dengan tujuan untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan perniagaan.

 

"Penubuhan NFOFs sejajar dengan strategi Memajukan Malaysia yang dilaksanakan oleh Khazanah, berteraskan rangka kerja ‘A Nation That Creates’ yang bertujuan untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing negara.

 

"Inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada komitmen Khazanah di bawah program GEAR-uP, yang diterajui oleh Kementerian Kewangan (MOF) dalam usaha menyepadukan usaha oleh syarikat-syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan memangkin pertumbuhan dalam sektor ekonomi utama," katanya. - DagangNews.com