KUALA LUMPUR 11 Okt - KJTS Group Bhd menerima subkontrak bernilai RM12.3 juta daripada Sunway Construction Sdn Bhd melalui Sunway Engie DC Sdn Bhd bagi pembinaan projek pusat data di Selangor.
Menurut satu makluman kepada Bursa Malaysia, penyedia perkhidmatan sokongan bangunan itu berkata, subkontrak itu termasuk pembekalan dan pemasangan penghawa dingin dan kerja paip pengudaraan mekanikal serta kelengkapan peralatan.
Sunway Engie adalah syarikat milik 70% Sunway Engineering Sdn Bhd dan selebihnya dimiliki oleh Engie Services Malaysia Sdn Bhd.
Sunway Engineering pula dimiliki sepenuhnya oleh anak syarikat milik Sunway Construction Group Bhd, Sunway Construction Sdn Bhd.
Ini merupakan kontrak kedua KJTS yang diterima daripada Sunway Engie dalam tempoh sebulan.
Subkontrak pertama telah dianugerahkan pada 23 September 2024, bernilai RM23.75 juta bagi membangunkan pusat data di Sedenak Tech Park, Johor.
KJTS berkata kerja subkontrak terbaharu itu bermula pada 11 September 2024 dan dijangka siap pada 27 November 2026.
"Subkontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kami sehingga tamat tempohnya," katanya.
Termasuk subkontrak ini, KJTS telah memperoleh empat kontrak sejak awal tahun. -DagangNews.com