Meraque Group bekerjasama dengan Perkeso dan Jabatan Penjara, latih bekas banduan jadi juruterbang dron mahir | DagangNews Skip to main content

Meraque Group bekerjasama dengan Perkeso dan Jabatan Penjara, latih bekas banduan jadi juruterbang dron mahir

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 6 Nov – Syarikat penyelesaian robotik Malaysia, Meraque Group, melancarkan Program Penyepaduan Semula Sosial dengan kerjasama Perkeso dan Jabatan Penjara Malaysia, bertujuan menggajikan bekas banduan sebagai juruterbang dron, sekali gus memberikan mereka kemahiran dan peluang memulakan hidup baharu dalam masyarakat.

 

Selaras dengan inisiatif Belanjawan Malaysia 2025 yang bertujuan meningkatkan peluang pekerjaan bagi kumpulan mudah terjejas termasuk bekas banduan, program Meraque menawarkan latihan praktikal dan kerja sebagai juruterbang dron. 

 

Dalam pembentangan belanjawan baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan usaha kerajaan untuk menyokong kumpulan tersebut melalui MyFutureJobs, MySTEP dan insentif tambahan oleh PERKESO. 

 

 

Ini termasuk elaun bulanan sebanyak RM1,500 selama enam bulan, bertujuan membantu majikan dalam mengintegrasi lebih 3,300 pencari kerja dari kumpulan itu, dengan peruntukan khas sebanyak RM30 juta.

 

Meraque merancang untuk menyediakan antara 10 hingga 20 peluang pekerjaan sebagai juruterbang dron di Selangor dan Johor, dengan pelaksanaan dijangka pada suku pertama 2025. 

 

Program terbabit juga direka untuk memberikan peluang lanjutan kepada peserta yang menunjukkan prestasi cemerlang, mewujudkan laluan yang bermakna dan mampan untuk menghubungkan mereka semula ke dalam masyarakat.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Meraque, Razalee Ismail berkata, visi syarikat adalah untuk memberi peluang kepada individu dari pelbagai latar belakang, termasuk bekas banduan, untuk menjadi jurutera dan pengendali dron yang mahir. 

 

"Saya datang dari latar belakang yang sederhana dan memahami keinginan untuk memperbaiki diri dan mencapai sesuatu yang besar. 

 

"Dengan menawarkan peluang kedua kepada bekas banduan, kami bukan sahaja mengubah hidup mereka, tetapi juga membina tenaga kerja yang lebih kuat dan inklusif," katanya dalam satu kenyataan. 

 

Razalee berkata, pihaknya komited untuk merealisasikan visi tersebut dan menyokong mereka dalam memulakan laluan baharu ke arah kerjaya yang bermakna dan memberi impak.

 

 

Sejak 2017, inisiatif Corporate Smart Internship (CSI) Malaysia untuk Program Parol telah membolehkan Pegawai Parol Daerah dan Perkhidmatan Komuniti membantu individu yang diparol untuk mendapatkan peluang pekerjaan, menyediakan latihan teori dan praktikal bagi meningkatkan kebolehpasaran.

 

Kerjasama Meraque dengan CSI yang dimulakan pada September 2024 adalah satu komitmen untuk memperkasakan bekas banduan dengan melatih mereka sebagai juruterbang dron yang mahir, yang bukan sahaja menyokong pemulihan mereka tetapi juga menyokong integrasi ke dalam komuniti dan pembangunan profesional jangka panjang.

 

Melalui kerjasama dengan inisiatif CSI, Meraque menyumbang kepada penyepaduan semula sosial bekas banduan, memberi mereka peluang baharu dalam hidup melalui latihan menyeluruh sebagai juruterbang dron mahir. 

 

Kerjasama terbabit menyokong pemulihan individu serta memperkukuh integrasi komuniti dan pembangunan profesional. - DagangNews.com