Konsortium Gateway Development Alliance kemuka tawaran pengambilalihan kesemua saham MAHB pada harga RM11.00 sesaham | DagangNews Skip to main content

Konsortium Gateway Development Alliance kemuka tawaran pengambilalihan kesemua saham MAHB pada harga RM11.00 sesaham

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Nov - Konsortium Gateway Development Alliance yang diterajui syarikat dari Malaysia mengemukakan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat bagi kesemua saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB)  yang masih belum dimiliki dengan harga tawaran RM11.00 sesaham.

 

Konsortium yang diterajui UEM Group Berhad iaitu anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Berhad dan Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan syarikat induk mereka secara agregat memiliki 41.1% saham MAHB. 

 

Harga Tawaran sebanyak RM11.00 ini mencerminkan nilai ekuiti berjumlah RM18.4 bilion bagi MAHB, yang menandakan nisbah harga kepada pendapatan sebanyak 37.7x bagi pendapatan setiap saham yang disatukan dan diaudit MAHB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023. 

 

Tawaran ini juga mewakili premium pada kadar 49.5% setakat tahun setakat ini (YTD), berdasarkan kepada harga penutup RM7.36 setiap saham pada 29 Disember 2023, berbanding 10.0% prestasi YTD indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI sehingga dan termasuk 14 November 2024, yang merupakan hari dagangan terakhir sebelum tarikh Notis Tawaran Pengambilalihan Sukarela Bersyarat. 

 

"Penerimaan sepenuhnya tawaran ini akan menyaksikan pegangan UEM Group di dalam MAHB meningkat daripada 32.99% kepada 40%, dan pegangan KWSP pula meningkat daripada 7.86% kepada 30%. 

 

"Ini bermakna para pelabur Malaysia secara bersama akan memiliki 70% pegangan di dalam MAHB. Baki 30% pegangan pula akan dimiliki Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan Global Infrastructure Partners (GIP), antara pelabur infrastruktur terkemuka dengan pengalaman memiliki serta menguruskan lapangan terbang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kerajaan Malaysia akan mengekalkan pemilikan saham khasnya dalam MAHB dan Pengerusi serta Ketua Pegawai Eksekutif atau Pengarah Urusan MAHB akan terus dilantik dalam kalangan rakyat Malaysia. 

 

"Kesemua 39 lapangan terbang di Malaysia yang dikendalikan oleh MAHB akan terus dimiliki oleh Kerajaan Malaysia, seperti termaktub di bawah perjanjian pengoperasian yang ditandatangani MAHB, dan akan  terus dikawal selia oleh pelbagai agensi Kerajaan termasuklah Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Polis Diraja Malaysia," katanya.

 

Konsortium itu berhasrat untuk meletakkan MAHB di landasan terbaik bagi pertumbuhan mampan jangka masa panjang. 

 

Katanya, tumpuan akan diberikan kepada penyelenggaraan dan usaha menaiktaraf infrastruktur lapangan terbang, meningkatkan tahap perkhidmatan penumpang dan menambahbaik keterhubungan syarikat penerbangan yang akan meningkatkan pertumbuhan trafik. 

 

"Ini sekali gus akan memberikan manfaat ekonomi berpanjangan kepada MAHB dan para pemegang taruhnya, serta sektor ekonomi utama di Malaysia dan Turkiye. 

 

"Konsortium percaya objektif ini dapat dicapai dengan lebih baik sekiranya MAHB beroperasi sebagai sebuah entiti swasta, dengan mengambil pendekatan jangka masa panjang dalam pembuatan keputusan dan pelaburan modal, di samping menerima manfaat daripada kepakaran teknikal antarabangsa," katanya. - DagangNews.com