Kontrak baharu daripada Hibiscus Petroleum, Phillip Capital ramal pendapatan T7 Global melonjak pada FY25 | DagangNews Skip to main content

Kontrak baharu daripada Hibiscus Petroleum, Phillip Capital ramal pendapatan T7 Global melonjak pada FY25

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Jan - Pendapatan penyedia perkhidmatan minyak dan gas (O&G) T7 Global Bhd pada FY25 diramal meningkat dengan ketara selepas meraih projek penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian (MCM) daripada Hibiscus Petroleum Bhd.

 

Phillip Capital berkata, ia menjadikan jumlah kontrak berkaitan MCM meningkat kepada RM2 bilion dan buku pesanan keseluruhan syarikat melonjak kepada RM4.7 bilion.

 

"Kami menganggarkan gabungan projek MCM akan menyumbang hasil RM400 juta hingga RM450 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY25) menyumbang separuh daripada unjuran hasilnya," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, kumpulan itu dianugerahkan kontrak daripada Hibiscus Oil & Gas Malaysia bagi penyediaan perkhidmatan MCM untuk PM3-CAA pada 2025.

 

Kontrak itu bermula pada 19 Disember 2024, dengan tempoh permulaan selama enam bulan dan lanjutan enam bulan pilihan boleh dilaksanakan mengikut budi bicara Hibiscus Oil & Gas.

 

Firma penyelidikan itu, mengekalkan saranan "beli" ke atas T7 Global dengan harga sasaran (TP) 66 sen sesaham. 

 

Katanya, syarikat itu secara agresif mengembangkan tenaga kerjanya bagi membolehkan pelaksanaan serentak pelbagai pekerjaan MCM.

 

Mengenai pembangunan projek O&G semasa, kedua-dua unit pengeluaran luar pesisir mudah alih beroperasi pada kapasiti penuh.

 

Pelantar jack-up Enya telah memulakan kerja di Labuan pada sembilan telaga, dengan operasi ke atas telaga itu dijangka siap menjelang akhir 2025.

 

“Susulan ini, pelantar jack-up akan digunakan semula ke Semenanjung Malaysia dan Sarawak untuk baki 44 telaga, memastikan ia sibuk antara dua hingga tiga tahun,” katanya.- DagangNews.com