Kos biji kopi cecah rekod, pemilik kafe Malaysia berdepan cabaran naikkan harga minuman | DagangNews Skip to main content

Kos biji kopi cecah rekod, pemilik kafe Malaysia berdepan cabaran naikkan harga minuman

Gambar Tina Guina/Unsplash

KUALA LUMPUR 6 Jan - Pemilik kafe di Malaysia yang mengimport biji kopi dan menjual kopi khas, berdepan cabaran untuk mengkaji semula harga minuman berkenaan ekoran kenaikan harga biji kopi yang mencecah paras tertinggi.

 

Kos biji kopi, khususnya dari pembekal utama seperti Brazil dan Vietnam, dijangka terus meningkat tahun ini disebabkan oleh cuaca buruk dan kekurangan bekalan yang dipacu oleh permintaan global yang tinggi.

 

Brazil, pengeluar terbesar biji kopi Arabica di dunia sebagai contoh, mengalami kemarau terburuk dalam sejarah, diikuti oleh suhu sejuk dan haba melampau yang mengurangkan hasil tanaman dengan ketara.

 

 

Vietnam, pengeluar utama biji kopi Robusta, berdepan dengan kemarau berpanjangan diikuti dengan hujan lebat yang luar biasa.

 

Harga biji kopi Arabica mencapai hampir RM15.76 sekilogram pada Disember 2024, mencapai paras tertinggi sejak 1977, mencatatkan kenaikan yang mengejutkan sebanyak 83% pada 2024.

 

Biji kopi Robusta, yang kebanyakannya digunakan dalam pengeluaran kopi segera, turut mengalami lonjakan harga mendadak, meningkat sebanyak 73% kepada RM26,507.73 setiap tan pada November 2024 disebabkan oleh pola cuaca yang tidak menentu.

 

Pemilik Rendevu Coffee di Wangsa Maju, Hijjaz Suhaimi, 24, berkata, dengan kenaikan harga biji kopi hijau yang melambung, perniagaan kini berdepan dengan keputusan sukar.

 

"Selagi perniagaan mengekalkan jenama yang kukuh dan menyesuaikan diri dengan trend, permintaan akan tetap ada, walaupun harga lebih tinggi," katanya ketika diwawancara Bernama.

 

Kafe Hijjaz mengimport biji kopi hijau dari Guatemala, Ethiopia, Brazil dan Mexico, dengan tumpuan untuk menyeimbangkan rasa dan keasidan untuk menarik pelanggan yang menyukai aroma buah tanpa rasa terlalu berasid.

 

Untuk mengimbangi kenaikan kos membeli kopi panggang sehingga RM100 sekilogram, Hijjaz berkata, mereka memanggang biji kopi sendiri untuk menjimatkan kos.

 

"Dengan memanggang biji kopi hijau sendiri, kami boleh menghasilkan jumlah yang sama hanya dengan RM40," katanya.

 

Pemilik Kampung Brew, Che Wan Sufian Che Wan Abdullah, 37, berkata, kenaikan harga biji kopi global yang boleh mencecah sehingga 25%, membimbangkan pemilik kafe tempatan.

 

"Kami belum menerima sebarang pemberitahuan rasmi dari pembekal, tetapi kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan baru-baru ini serta penyesuaian gaji minimum sudah pun menaikkan kos untuk item seperti kopi, koko dan susu.

 

"Jika kenaikan harga biji kopi berlaku, kebanyakan kafe terpaksa menaikkan harga mereka," katanya di premisnya di Ampang, baru-baru ini.

 

Namun, beliau optimis pelanggan akan terus menyokong perniagaan tempatan walaupun terdapat kenaikan harga.

 

Ellina Amin, 37, pemilik Whatever Works Coffee di Kampung Datuk Keramat pula berkata, buat masa ini, harga kopi di kedainya masih kekal.

 

Katanya, harga biji kopi semasa menawarkan fleksibiliti yang mencukupi untuk disesuaikan tanpa kenaikan yang drastik.

 

"Kami berusaha mengekalkan harga. Jika kenaikan diperlukan, kami akan menyediakan pilihan kepada pelanggan," jelasnya.

 

Dengan sumber biji dari Ethiopia, Brazil dan Colombia, serta pemanggang tempatan di Pulau Pinang, beliau dapat menawarkan pelanggan pelbagai pilihan, termasuk biji kopi premium.

 

"Sebagai contoh, jika ada biji kopi istimewa dari negara lain yang lebih mahal, peminat kopi yang sanggup membayar harga tinggi, tetap boleh menikmatinya," ujar beliau. - DagangNews.com