KPJ Healthcare lantik Profesor Emeritus Datuk Dr Lokman Saim sebagai Ketua Pengarah Perubatan | DagangNews Skip to main content

KPJ Healthcare lantik Profesor Emeritus Datuk Dr Lokman Saim sebagai Ketua Pengarah Perubatan

Profesor Emeritus Datuk Dr Lokman Saim
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 2 Jan - KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) mengumumkan pelantikan Profesor Emeritus Datuk Dr Lokman Saim sebagai Ketua Pengarah Perubatan yang pertama, berkuatkuasa 1 Januari 2025. 

 

Pelantikan itu merupakan langkah strategik dalam memperkukuhkan kepimpinan klinikal, meningkatkan tadbir urus dan memacu objektif sistem kesihatan KPJ yang menyepadukan penjagaan klinikal, pendidikan dan penyelidikan untuk mencapai kecemerlangan dalam hasil penjagaan pesakit secara menyeluruh.

 

Dr Lokman mempunyai lebih 40 tahun pengalaman dalam bidang perubatan klinikal, kepimpinan akademik dan inovasi perubatan. 

 

Beliau merupakan perintis dalam otologi dan neurotologi di Malaysia menerusi pengenalan pembedahan implan koklea dan menubuhkan Pasukan Implan Koklear UKM. 

 

Pendekatan pelbagai disiplin yang diperkenalkan beliau telah meletakkan piawaian baharu untuk kesihatan pendengaran, sekali gus meningkatkan kualiti kehidupan pesakit.

 

Beliau telah berkhidmat sebagai Naib Canselor Universiti KPJ Healthcare (KPJU) sejak 2012.

 

Sepanjang tempoh perkhidmatannya di KPJU, beliau memainkan peranan penting dalam menyelaraskan pendidikan dan latihan yang sejajar dengan keperluan kumpulan, sekali gus memastikan golongan profesional mahir dalam bidang perubatan mencukupi. 

 

Beliau juga adalah pengasas Dekan Perubatan dan Pengarah Pusat Perubatan UKM.

 

Sebagai Ketua Pengarah Perubatan KPJ Healthcare, Dr Lokman akan menerajui usaha menyelaraskan operasi klinikal dengan matlamat strategik sistem kesihatan KPJ. 

 

Beliau akan memberi tumpuan untuk meningkatkan tadbir urus klinikal, menyeragamkan amalan baik dan mengoptimumkan kecekapan operasi, serta memastikan penjagaan pesakit kekal sebagai misi utama KPJ Healthcare untuk menjadi rakan penjagaan kesihatan pilihan.

 

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan berkata, pelantikan Dr Lokman menandakan satu langkah penting untuk kumpulan. 

 

"Dengan kepimpinan dan kepakaran yang luas serta sumbangan besar kepada kumpulan, beliau sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab penting ini.

 

"Sebagai individu yang telah lama berkhidmat dengan kami, beliau mempunyai pemahaman yang mendalam mengenai operasi serta nilai yang diperjuangkan bagi memastikan kepimpinan yang kukuh dan berkesinambungan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pelantikan itu mengukuhkan strategi KPJ Healthcare untuk mengetengahkan fungsi klinikal sebagai komponen teras operasinya serta memastikan penyepaduan yang lancar dengan objektif keseluruhan kumpulan. 

 

Jawatan Dr Lokman sebagai Naib Canselor KPJU akan diambil alih oleh lantikan baharu dan butiran lanjut akan diumumkan kelak. - DagangNews.com