Kumpulan Alpha IVF masuki pasaran Indonesia dengan klinik satelit pertama, perkukuh kehadiran di rantau Asia | DagangNews Skip to main content

Kumpulan Alpha IVF masuki pasaran Indonesia dengan klinik satelit pertama, perkukuh kehadiran di rantau Asia

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 17 Okt - Pakar penjagaan kesuburan terkemuka, Alpha IVF Group Berhad (Alpha IVF) meluaskan empayar perniagaan ke Indonesia dengan pembukaan klinik satelit pertamanya di daerah mewah di Jakarta, yang merupakan pasaran penyumbang hasil terbesar bagi kumpulan di luar negara.

 

Perkembangan itu menyusul selepas syarikat tersebut baru-baru ini membuka cawangan di Filipina dan China sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan serantau. 

 

Dengan Indonesia menjadi pasaran yang paling pesat berkembang untuk perkhidmatan persenyawaan in-vitro (IVF), peluasan perniagaannya ke Indonesia dibuat tepat pada masanya untuk memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat.

 

Alpha IVF

 

Klinik satelit di Indonesia bertujuan meningkatkan pertambahan pesakit dari Indonesia ke pusat-pusat Alpha IVF di Malaysia dengan menyelaraskan logistik dan menyediakan pengalaman rawatan yang lancar. 

 

Lebih penting lagi, kehadiran di Jakarta membolehkan syarikat memasarkan perkhidmatan IVF secara langsung kepada pasaran Indonesia, meningkatkan kesedaran tentang perkhidmatan dan kadar kejayaan Alpha IVF. 

 

Operasi dijadualkan bermula pada awal 2025 susulan acara penandatanganan perjanjian penyewaan hari ini.

 

Pendapatan kumpulan dari pesakit Indonesia telah berkembang dengan pesat selama bertahun-tahun dan kini merupakan penyumbang utama kepada operasi Alpha IVF di Malaysia bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Mei 2024 (FY2024). 

 

Sumbangan daripada pesakit Indonesia kepada pendapatan operasi kumpulan di Malaysia meningkat dari 21.5% pada FY2020 kepada 42.4% pada FY2024, menunjukkan peranan penting pasaran Indonesia dalam pertumbuhan jangka panjang Kumpulan.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Alpha IVF Berhad, Dato’ Dr Colin Lee Soon Soo berkata, majoriti bayi IVF yang dilahirkan di Indonesia adalah hasil daripada perkhidmatan rawatan IVF syarikatnya selama dua dekad yang lalu. 

 

"Pertambahan kelahiran bayi menerusi kaedah IVF di Indonesia dari Alpha IVF, mencerminkan kadar kejayaan kami yang tinggi dalam menyokong keluarga di Indonesia yang memerlukan rawatan kesuburan. 

 

"Keluarga-keluarga yang berjaya ini akan mencadangkan kami kepada lebih ramai rakyat Indonesia untuk mendapatkan rawatan dengan kumpulan kami," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pembukaan klinik satelit pertama di Indonesia adalah sebahagian daripada strategi lebih luas Alpha IVF untuk menyediakan sokongan tempatan bagi pesakit Indonesia sambil mendorong pertumbuhan di pusat-pusat syarikat di Malaysia.

 

Walaupun tanpa kehadiran klinik satelit, Alpha IVF sudah melihat pertumbuhan dua digit dalam sumbangan daripada pesakit Indonesia. 

 

Berita tentang penubuhan pusat berkenaan telah menarik minat pesakit untuk bertanyakan tentang perkhidmatan yang ditawarkan, malah jumlah pesakit Indonesia yang menerima rawatan di pusat-pusat Alpha IVF di Malaysia dijangka meningkat sejurus klinik satelit beroperasi.

 

Klinik satelit baharu itu dibina di Pantai Indah Kapuk, Jakarta Utara di premis seluas 6,887 kaki persegi. 

 

Operasi klinik akan diuruskan oleh pasukan khusus yang terdiri daripada seorang pakar obstetrik-ginekologi, seorang doktor perubatan am, seorang jururawat, seorang ahli farmasi, serta profesional pentadbiran dan pemasaran.

 

Selain klinik satelit pertama, Alpha IVF turut merancang pembukaan tiga lagi klinik satelit di seluruh Indonesia, yang dijangka beroperasi menjelang akhir 2026. - DagangNews.com