Kumpulan Kitacon peroleh kontrak RM64.05 juta daripada SP Setia Eco-Projects Management bagi pembinaan 130 rumah berkembar di Shah Alam | DagangNews Skip to main content

Kumpulan Kitacon peroleh kontrak RM64.05 juta daripada SP Setia Eco-Projects Management bagi pembinaan 130 rumah berkembar di Shah Alam

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Okt - Kumpulan Kitacon Bhd menerusi Kitacon Sdn Bhd memperoleh kontrak bernilai RM64.05 juta daripada SP Setia Eco-Projects Management Sdn Bhd bagi pembinaan 130 unit rumah berkembar dua tingkat dan pencawang Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Presint Arundina di Setia Alam, Shah Alam.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, pembinaan fasa tiga itu melibatkan pembinaan 110 unit rumah Jenis A (32’ x 75’), 10 unit Jenis B (32’ x 75’), 10 unit Jenis C (38’ x 70’) dan satu unit pencawang TNB di lot PT 32445, Setia Alam, Seksyen U13, Shah Alam. 

 

"Kontrak akan bermula pada 14 November 2024 dan dijangka siap dalam tempoh 27 bulan dari tarikh permulaan," katanya.

 

Kontrak itu tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham dan struktur pegangan saham kumpulan.

 

Bagaimanapun, dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham Kumpulan Kitacon bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 dan seterusnya sehingga tamat kontrak.

 

Faktor risiko yang mempengaruhi kontrak termasuk perubahan dalam persekitaran ekonomi, politik dan kawal selia dan risiko operasi seperti risiko penyiapan dan kekurangan bahan dan buruh mahir yang mana kumpulan akan mengambil langkah yang sewajarnya untuk mengurangkannya. - DagangNews.com