KUALA LUMPUR 2 Dis - Mah Sing Group Bhd berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran jualan RM2.5 bilion pada FY24 apabila jualan hartanahnya bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2024 (9MFY24) berada pada paras RM1.85 bilion, kata RHB Investment.
Daripada jumlah itu, Johor menyumbang 41% daripada hasil keseluruhan.
Katanya, jualan hartanah Mah Sing pada suku ketiga berakhir 30 September 2024 (3QFY24) mencecah RM605 juta, berbanding RM650 juta pada suku sebelumnya.
"Projek-projek penting yang menyumbang pada jualan 9MFY24 bagi kumpulan termasuk M Minori di Johor (RM337 juta), M Zenya (RM281 juta), Meridin East (RM337 juta) dan M Nova (RM134 juta) dan M Tiara yang baru sahaja dilancarkan (RM104 juta)," katanya dalam satu nota penyelidikan.
ARTIKEL BERKAITAN: Jualan hartanah Mah Sing cecah RM1.85 bilion sejajar dengan sasaran kumpulan pada 2024
Terdahlu, Mah Sing mencatat keuntungan bersih RM60.1 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2024, meningkat 20% berbanding RM50 juta pada suku sama tahun lalu.
Bagi tempoh sembilan bulan terkumpul untuk tahun ini, kumpulan merekodkan keuntungan bersih RM180.3 juta berbanding RM150.5 juta pada tempoh sama tahun lalu, manakala pendapatannya RM1.78 bilion berbanding RM1.93 bilion setahun lalu.
Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata, Chindata Group telah membuat pinjaman kewangan AS$2.8 bilion bagi membiayai pelan pengembangan operasinya di Malaysia dan premis cawangannya di Malaysia berkemungkinan akan digunakan oleh ByteDance.
"Hal ini sepatutnya membantu meyakinkan pelabur bahawa usaha sama ini boleh mendapatkan senarai pembeli yang mencukupi," katanya.
Beliau menambah, pihak pengurusan Mah Sing juga masih mengadakan perbincangan dengan rakan kongsinya, Bridge Data Centre, dan perjanjian usaha sama itu sepatutnya dapat dimuktamadkan sebelum bulan Mei 2025.
Katanya, kedua-dua pihak juga akan memutuskan senarai pembeli yang berminat pada masa yang sama.
"Untuk bahagian sarung tangan pula, tempahan jualan dijangka akan semakin meningkat menuju ke 2025 memandangkan pelaksanaan kadar tarif 50% yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap barangan import dari China seharusnya menguntungkan pihak Mah Sing kerana 93% barangannya dieksportkan ke AS," katanya. - DagangNews.com