Majestic Gen bina apartmen servis, Gen Starz Residences dengan nilai pembangunan kasar RM272 juta | DagangNews Skip to main content

Majestic Gen bina apartmen servis, Gen Starz Residences dengan nilai pembangunan kasar RM272 juta

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 11 Nov - Syarikat pelaburan hartanah, Majestic Gen mengumumkan pembinaan apartmen servis, Gen Starz Residences (Gen Starz) dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM272 juta, menetapkan piawaian baharu bagi kehidupan bandar di Jalan Klang Lama.

 

Pembangunan berkepadatan rendah itu menawarkan 360 unit pangsapuri servis yang menggabungkan pesona kawasan bersejarah tersebut dengan sentuhan moden yang direka untuk memenuhi gaya hidup semasa.

 

Gen Starz menawarkan tiga jenis unit, iaitu jenis A yang bersaiz kompak 650 kaki persegi, sesuai untuk profesional muda, manakala jenis B menawarkan ruang seluas 756 kaki persegi dengan dua bilik dan dua bilik mandi, ideal untuk mereka yang mencari ruang lebih. 

 

majectic gen

 

Bagi keluarga atau mereka yang mementingkan kehidupan yang lebih luas, jenis C dengan keluasan 874 kaki persegi, menawarkan tiga bilik dan dua bilik mandi. 

 

Selain unit-unit yang ditawarkan, Gen Starz turut menyediakan pelbagai kemudahan di tiga tingkat, termasuk gimnasium terbuka 360 darjah, kolam infiniti, serta ruang santai Sky Lounge dan Chillax Corner yang menonjolkan konsep kehidupan mewah. 

 

Terletak strategik berhampiran hab komersial yang pesat, sekolah-sekolah terkemuka, kemudahan penjagaan kesihatan, serta bersebelahan dengan laluan MRT3 yang dicadangkan, Gen Starz adalah pembangunan berkonsepkan masa depan di lokasi yang strategik.

 

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majestic Gen, Datuk Hoo Kim See berkata, projek terbabit menterjemahkan visi syarikat untuk menghasilkan ruang di mana setiap penghuni berpeluang berkembang dan bersinar mengikut cara mereka sendiri.

 

majectic gen

 

"Gen Starz melambangkan peranan utamanya di lokasi strategik, lengkap dengan gaya hidup moden yang meriah, selaras dengan slogan kami Bersinar Sepanjang Masa, sekali gus menambah daya tarikan kediaman dengan pesona yang konsisten tanpa mengira waktu," katanya dalam satu kenyataan.

 

Reka bentuk linear pembangunan itu melambangkan kepelbagaian hubungan dalam komuniti yang lebih besar, simbolik kepada kehidupan individu yang bersatu hati untuk membina hubungan lebih bermakna. 

 

Kediaman tersebut direka khusus untuk memenuhi keperluan golongan muda dan kreatif, memupuk semangat keusahawanan baharu, pendidikan holistik untuk generasi masa depan, serta pertukaran budaya, semuanya dalam ruang yang menyatukan kemudahan bandar dengan pelbagai keperluan dan kehendak secara harmoni.

 

majectic gen

 

Lokasi strategik Gen Starz Residences menghubungkan penduduknya dengan kemudahan bandar terbaik yang boleh diakses dalam lingkungan 5 kilometer sahaja. 

 

Kedudukannya berhampiran hab komersial seperti Kuchai Business Centre dan Kuchai Entrepreneurs Park serta pusat membeli-belah dan gaya hidup The Scott Garden, Pasar Jalan Klang Lama, Pearl Point Shopping Mall, The Mid Valley Megamall, Gardens Mall, NSK Trade City, dan NU Sentral.

 

Lebuh raya utama seperti Lebuhraya Besraya, Lebuhraya DUKE 3, Lebuhraya Hubungan Timur-Barat, KESAS, MRR2, MEX, Lebuhraya Pantai Baharu (NPE), Lebuhraya Seremban, Terowong SMART menyediakan akses jalan raya yang mudah, sekali gus memastikan penduduk dihubungkan dengan baik ke semua bahagian bandar serta perjalanan merentasi negeri. - DagangNews.com