KUALA LUMPUR 24 Okt - Malaysia telah diiktiraf sebagai salah satu daripada 13 negara yang ditambahkan secara rasmi kepada BRICS sebagai negara rakan kongsi, sebuah blok yang secara kolektif menyumbang satu perlima daripada perdagangan global.
Menurut kemas kini daripada @BRICSInfo pada X, blok itu secara rasmi menambah 13 negara baharu kepada pakatan itu sebagai negara rakan kongsi, walaupun belum lagi sebagai ahli penuh.
Selain Malaysia, 12 negara lain ialah Algeria, Belarus, Bolivia, Cuba, Indonesia, Kazakhstan, Nigeria, Thailand, Turki, Uganda, Uzbekistan dan Vietnam.
Untuk rekod, pada 28 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan Malaysia telah mengemukakan permohonan kepada Rusia untuk menyertai pertubuhan antara kerajaan BRICS.
Rusia kini mempengerusikan blok itu, yang turut merangkumi Brazil, India, China dan Afrika Selatan.
Pada 18 Jun, Anwar mengesahkan hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS semasa perbincangan dengan Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva.
BRICS, yang asalnya terdiri daripada Brazil, Rusia, India dan China, telah ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi sedang pesat membangun, dengan Afrika Selatan menyertainya pada 2010.
Blok itu telah berkembang untuk merangkumi Iran, Mesir, Ethiopia, dan Emiriah Arab Bersatu.
BRICS mewakili kira-kira 40 peratus daripada populasi global dan menyumbang keluaran dalam negara kasar (KDNK) terkumpul sebanyak AS$26.6 trilion, atau 26.2 peratus daripada KDNK dunia, hampir menyamai kekuatan ekonomi Kumpulan Tujuh (G7).
G7 ialah kumpulan tidak rasmi tujuh daripada ekonomi maju dunia, termasuk Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, United Kingdom, dan Amerika Syarikat, serta Kesatuan Eropah.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, dijadual menyampaikan kenyataan kebangsaan negara pada Sidang Kemuncak BRICS Outreach/BRICS Plus di Kazan, Rusia, pada 24 Okt 2024. - DagangNews.com