Malaysia Airlines kembalikan penerbangan terus ke Kolkata selepas 18 tahun | DagangNews Skip to main content

Malaysia Airlines kembalikan penerbangan terus ke Kolkata selepas 18 tahun

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 3 Dis - Malaysia Airlines mengembalikan laluan ke Kolkata (CCU), menandakan satu lagi pencapaian dalam misi untuk menyediakan sambungan tanpa gangguan antara Malaysia dan destinasi utama di Asia Selatan.

 

Dengan pengembalian laluan itu, Malaysia Airlines, dengan kerjasama IndiGo, kini menghubungkan Malaysia dengan 16 destinasi di India, memperkukuh pilihan perjalanan untuk penumpang. 

 

Penerbangan MH184, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 9:45 malam waktu tempatan, menghubungkan penumpang ke pusat budaya yang dinamik di India.

 

Penerbangan menaiki pesawat Boeing 737-800 dengan muatan penerbangan sebanyak 93% itu, menunjukkan permintaan yang tinggi bagi pelancong yang menuju ke CCU.

 

Semua penumpang yang menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur menerima beg perjalanan bertema Malaysia Airlines sebagai tanda penghargaan, bersama-sama peluang untuk merakam kenangan di gerai foto khas yang disediakan. 

 

Penerbangan pulang, MH185, berlepas pada 12:10 pagi dan tiba pada 6:40 pagi waktu tempatan dengan muatan penerbangan sebanyak 91%.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines, Ahmad Luqman Mohd Azmi berkata, pihaknya gembira dapat mengembalikan semula penerbangan terus antara Kuala Lumpur dan Kolkata, mengukuhkan hubungan antara Malaysia dan India sambil membuka peluang menarik untuk pelancong percutian dan perniagaan. 

 

"Laluan ini menguatkan komitmen kami untuk menawarkan pengalaman perjalanan kepada penumpang, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia Airlines sebagai pintu masuk utama ke Malaysia dan seterusnya bagi pelancong yang mencari pengalaman istimewa. 

 

"Sebagai permulaan perjalanan ini, kami mengajak penumpang untuk meneroka warisan, landskap bandar dan hospitaliti yang tiada tandingan yang ditawarkan oleh Kolkata," katanya dalam satu kenyataan.


 
Sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan Malaysia Airlines untuk meningkatkan pengalaman penumpang, syarikat penerbangan itu turut memperkenalkan Oberoi Group sebagai penyedia katering penerbangan premium yang baharu untuk penerbangan yang berlepas dari CCU serta New Delhi (DEL), Mumbai (BOM) dan Chennai (MAA). 

 

Dikenali dengan perkhidmatan mewah dan luar biasa sejak 1934, penumpang boleh menikmati pengalaman kulinari dengan hidangan ikonik Oberoi.

 

Bagi meraikan pelancaran laluan baharu tersebut, Malaysia Airlines menawarkan harga tambang promosi pergi balik bermula dari RM1,499 untuk perjalanan mulai 2 Disember 2024.

 

Sebelum ini, Malaysia Airlines mengendalikan penerbangan terus ke Kolkata pada 1998 dan 2005 sebelum terhenti setahun kemudian. - DagangNews.com