Malaysia Airlines tambah 112 penerbangan antara Kuala Lumpur dan Malaysia Timur pada musim perayaan | DagangNews Skip to main content

Malaysia Airlines tambah 112 penerbangan antara Kuala Lumpur dan Malaysia Timur pada musim perayaan

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 16 Dis – Malaysia Airlines akan mengendalikan 112 penerbangan tambahan antara Kuala Lumpur (KUL) dan Malaysia Timur dari 19 Disember hingga 1 Januari 2025 bagi memenuhi permintaan yang meningkat sempena musim perayaan Krismas dan Tahun Baru Cina. 

 

Ini termasuk 66 penerbangan tambahan ke dan dari Sabah termasuk Kota Kinabalu (BKI), Sandakan (SDK) dan Tawau (TWU), serta 46 penerbangan tambahan ke dan dari Sarawak termasuk Kuching (KCH) dan Miri (MYY). 

 

Dengan penambahan penerbangan itu, Malaysia Airlines akan menawarkan sehingga 596 penerbangan antara Kuala Lumpur dan Malaysia Timur sepanjang musim perayaan tersebut, memudahkan urusan perjalanan untuk para pelanggan. 

 

Sementara itu, syarikat juga menawarkan tambang tetap untuk Tahun Baru Cina, pada harga sehala bermula dari RM349 ke dan dari Sabah serta Sarawak, yang hanya boleh didapati melalui laman web rasmi dan aplikasi mudah alih Malaysia Airlines.

 

Selain tambang menarik tersebut, Malaysia Airlines juga akan mengendalikan 102 penerbangan tambahan antara 24 Januari hingga 4 Februari 2025, menjadikan jumlah keseluruhan penerbangan mingguan ke dan dari Sabah serta Sarawak sebanyak 219 penerbangan sepanjang tempoh berkenaan. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines daripada Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG), Ahmad Luqman Mohd Azmi berkata, inisiatif-inisiatif itu selaras dengan fokus strategik syarikat dalam memenuhi permintaan perjalanan dinamik pelanggan. 

 

"Dengan semua inisiatif ini, Malaysia Airlines bukan sahaja meningkatkan hubungan perjalanan, tetapi juga mengukuhkan kedudukan sebagai syarikat penerbangan pilihan. 

 

"Kami komited untuk memberikan pengalaman perjalanan yang lancar dan luar biasa," katanya dalam satu kenyataan. 

 

Selain mengukuhkan jaringan perjalanan domestik, Malaysia Airlines juga mempertingkatkan pilihan perjalanan serantau. 

 

Bermula 28 Januari 2025, syarikat akan memperkenalkan kekerapan penerbangan harian ketujuh ke Jakarta (CGK), menawarkan kemudahan dan fleksibiliti yang lebih besar untuk pengembara perniagaan dan pelancong antara Malaysia dan Indonesia.  

 

Pengembara boleh menempah perjalanan mereka melalui laman web dan aplikasi mudah alih Malaysia Airlines.

 

Dengan kedatangan musim perjalanan puncak hujung tahun, Malaysia Airlines menjangka peningkatan yang signifikan dalam jumlah penumpang. 

 

Bagi memastikan pengalaman perjalanan yang lancar semasa tempoh sibuk itu, pengembara dinasihatkan untuk mendaftar masuk secara dalam talian melalui aplikasi rasmi Malaysia Airlines atau laman web. - DagangNews.com