Malaysia diramal terus menarik perhatian pelabur asing didorong kestabilan politik - UBS Global Research | DagangNews Skip to main content

Malaysia diramal terus menarik perhatian pelabur asing didorong kestabilan politik - UBS Global Research

Gambar NAIM AZIZ/DagangNews

KUALA LUMPUR 10 Okt - UBS Global Research meramalkan Malaysia akan terus menarik perhatian pelabur asing atas beberapa faktor termasuk kestabilan politik dan prestasinya dalam melaksanakan tanggungjawab fiskal.

 

Katanya, daya saing Malaysia dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta dasar tenaga yang menuju ke arah sasaran sifar bersih, merupakan faktor lain yang menarik minat pelabur.

 

Firma penyelidikan itu berkata, negara ini juga mempunyai kumpulan bakat yang besar dengan jumlah graduan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) yang tinggi, pelbagai perjanjian perdagangan bebas dan skor yang baik berkaitan faktor kemudahan menjalankan perniagaan.

 

 

“Sebagai contoh, ekosistem E&E telah mendapat manfaat daripada permintaan pelaburan syarikat multinasional yang besar; limpahan positif turut memberi impak kepada syarikat pembinaan dan pasaran tenaga kerja,” katanya dalam satu nota kajian, lapor Bernama.

 

UBS Global berpendapat pelaksanaan cukai minimum global sebanyak 15% pada 2025 akan memberi impak kecil terhadap persaingan untuk pelaburan langsung asing (FDI).

 

Katanya, walaupun trend deglobalisasi semakin meningkat apabila banyak negara berusaha untuk membawa balik syarikat melalui subsidi, ia tidak akan menghalang syarikat besar daripada terus berkembang di peringkat global.

 

“Walaupun sedemikian, Malaysia telah melaksanakan kriteria kandungan tempatan sebanyak 40%, sejajar dengan piawaian Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

 

“Dari perspektif pemilik perniagaan, FDI ke Malaysia telah memberi manfaat yang besar kepada syarikat, terutamanya dalam subindustri yang menyokong industri E&E, menyaksikan aliran masuk FDI yang besar,” katanya.

 

Katanya aliran masuk FDI tertumpu dalam sektor E&E tetapi terdapat juga minat dalam bidang kimia, teknologi hijau, jentera dan fabrikasi logam.

 

Selain E&E, firma enyelidian itu berkata, teknologi hijau, jentera dan fabrikasi logam juga merupakan sektor yang mendapat perhatian serta masih terdapat minat yang kukuh dalam pelaburan pusat data.

 

“Jika Malaysia menjadi hab pusat data serantau, ini akan menjadi tarikan utama kepada syarikat yang berada di barisan hadapan inovasi teknologi untuk meningkatkan pelaburan di Malaysia,” katanya.

 

UBS Global berkata, dengan Malaysia mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN pada 2025, terdapat peluang untuk meningkatkan perdagangan antara ASEAN, yang kini hanya merangkumi 23 peratus daripada jumlah perdagangan semasa blok itu.

 

“Dari segi perjanjian perdagangan bebas, Malaysia boleh memulakan semula rundingan dengan Kesatuan Eropah mengenai Perjanjian Kerjasama Ekonomi Malaysia-Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (EFTA) yang tergendala, merupakan perjanjian kerjasama ekonomi antara Malaysia dan anggota EFTA termasuk Switzerland, Norway, Iceland dan Liechtenstein,” katanya.- DagangNews.com