Maxis mungkin beli pegangan dalam U Mobile bagi rangkaian 5G kedua, kata PublicInvest | DagangNews Skip to main content

Maxis mungkin beli pegangan dalam U Mobile bagi rangkaian 5G kedua, kata PublicInvest

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Nov - Maxis Bhd mungkin bergabung dengan U Mobile Sdn Bhd dan berkemungkinan memperoleh sebahagian atau kesemua 28.3% kepentingan dalam syarikat itu selepas pemegang saham terbesar pengendali rangkaian mudah alih itu, Straits Mobile Investments Pte Ltd menjual pegangannya, kata Public Investment Bank Bhd (PublicInvest).

 

Firma penyelidikan itu berkata, peranan Maxis dalam pelancaran rangkaian 5G kedua masih tidak dapat dipastikan, memandangkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah melantik U Mobile untuk pelaksanaan rangkaian itu.

 

 

"U Mobile dijangka mengurangkan pegangan saham asingnya kepada 20% untuk sejajar dengan komitmennya bagi memastikan kawalan Malaysia yang lebih besar terhadap rangkaian telekomunikasi, yang dilihat sebagai aset strategik negara.

 

"Memandangkan modal penggunaan 5G dan peminjaman tinggi U Mobile, kami percaya mereka memerlukan rakan kongsi strategik yang kukuh bagi berkongsi kos pelaburan 5G," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Dengan Maxis diadagangkan pada kira-kira 9% diskaun kepada harga sasarannya RM3.90 dan menawarkan hasil yang menarik kira-kira 5%, PublicInvest telah menaik taraf saham itu kepada 'beli'.

 

Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) Research mengekalkan saranan 'pegang' ke atas Maxis dengan harga sasaran RM3.93.

 

Katanya, keputusan Maxis berhubung strategi 5G boleh menjejaskan dividen, menimbulkan beberapa ketidakpastian jangka pendek.

 

Syarikat telekomunikasi itu melaporkan peningkatan 27.5% dalam keuntungan bersih bagi suku ketiga 2024 (3QFY24), mencecah RM366 juta.

 

Bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2024 (9MFY24), Maxis mencapai kenaikan 14.7% tahun ke tahun kepada RM1.07 bilion, terutamanya disebabkan oleh pertumbuhan 4.4% dalam hasil manakala kos meningkat pada kadar yang lebih sederhana sebanyak 2%.

 

PublicInvest menyatakan, keputusan itu adalah selaras dengan kedua-dua konsensus dan jangkaan firma penyelidikan.

 

"Kami mengekalkan unjuran pendapatan tahun kewangan 2024 hingga tahun kewangan 2026 (FY24-FY26)," tambahnya. - DagangNews.com