KUALA LUMPUR 2 Jan - Maxis dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) akan bekerjasama membangunkan rumusan 5G dengan memanfaatkan kemudahan rangkaian dan keupayaan teknologi penyedia telekomunikasi serta kepakaran institusi pengajian tinggi tersebut.
Kedua-dua organisasi itu akan meneroka peluang berkaitan penggunaan rumusan 5G, dengan memberi tumpuan kepada inovasi dalam bidang penjagaan kesihatan dan pendidikan.
Di samping kedua-dua bidang berkenaan, rumusan bersama seperti keselamatan siber, teknologi hijau dan inisiatif kampus pintar juga boleh dibangunkan dengan memanfaatkan kemudahan rangkaian Maxis.
Dalam bidang penjagaan kesihatan, rumusan 5G yang berpotensi diterokai termasuklah pembedahan jarak jauh, tele-perubatan canggih, perundingan jarak jauh dan pemantauan kesihatan masa nyata.
Bagi pendidikan, rumusan sama akan dibangunkan untuk memudahkan dan meningkatkan pengalaman pembelajaran melalui persekitaran dan penyampaian kandungan interaktif.
Sebagai contoh, aplikasi realiti tambahan (AR) oleh 5G membolehkan akses jauh kuliah sambil memperkaya pengalaman pembelajaran melalui kandungan multimedia yang disepadukan ke dalam persekitaran dunia sebenar.
Kerjasama itu dirasmikan pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Presiden UTAR, Ir. Prof. Dato’ Dr Ewe Hong Tat dan Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis, Prateek Pashine.
Dr Hong Tat berkata, UTAR teruja bekerjasama dengan Maxis dalam perjalanan untuk membangunkan rumusan 5G yang canggih.
"Kerjasama ini sejajar dengan komitmen UTAR untuk memupuk penyelidikan dan daya cipta yang menangani keperluan kritikal dalam penjagaan kesihatan dan pendidikan.
"Dengan memanfaatkan gabungan kekuatan pakar akademik dan industri, kami boleh mencipta rumusan yang menyumbang kepada kemajuan teknologi dan masyarakat," katanya dalam satu kenyataan.
Prateek pula menyifatkan, Maxis berbangga dapat bekerjasama dengan UTAR sambil meneroka dunia yang penuh dengan peluang menerusi teknologi 5G.
"Penjagaan kesihatan dan pendidikan adalah bidang penting yang memerlukan kerjasama industri-akademik seperti ini kerana ia mempercepatkan inovasi.
"Melalui Maxis Business, kami berhasrat menyediakan rumusan 5G yang mampu meningkatkan persekitaran penyampaian penjagaan kesihatan dan pendidikan, menjadikannya lebih dinamik, mudah diakses dan diperibadikan," jelasnya.
Kerjasama berkenaan dibina atas inisiatif terdahulu oleh Maxis Business, bahagian B2B Maxis, untuk memacu penggunaan rumusan 5G dan 5G-Advanced dalam kalangan perniagaan di Malaysia.
Maxis Business kekal komited untuk menjadi rakan niaga digital pilihan melalui rumusan ketersambungan dan ketersambungan-tambahan (connectivity-plus). - DagangNews.com