Maybank IB mulakan liputan ke atas P.I.E Industrial dengan saranan "beli", TP RM7.50 sesaham | DagangNews Skip to main content

Maybank IB mulakan liputan ke atas P.I.E Industrial dengan saranan "beli", TP RM7.50 sesaham

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Jan - Maybank Investment Bank (Maybank IB) memulakan liputan terhadap Pan International Electronics (PIE) Industrial Bhd dengan saranan "beli" pada harga sasaran RM7.50 sesaham.

 

Katanya, kumpulan itu merupakan penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS), dan anak syarikat Hon Hai/Foxconn Technology Group dan berada di kedudukan terbaik bagi menerima manfaat daripada sumber pertumbuhan pendapatan baharu.

 

"Ini termasuk jumlah pesanan yang lebih tinggi didorong oleh aliran lencongan perdagangan, peningkatan permintaan daripada pelanggan superkomputer utamanya, pemerolehan pelanggan baharu dalam pasaran suis dan pelayan serta pengembangan kapasiti pengeluarannya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, tahun 2024 menandakan tahun penting bagi P.I.E Industrial kerana ia memasuki pasaran suis dan pelayan, mewujudkan saluran pertumbuhan baharu dan memajukan potensinya dalam pelayan kecerdasan buatan (AI).

 

Katanya, kumpulan itu juga mengembangkan kapasiti bagi memenuhi permintaan pelanggan superkomputer.

 

"Kami menjangkakan pelayan dan segmen superkomputer menjadi pemacu pertumbuhan utama, menyumbang antara 55% hingga 60% daripada hasil pada 2025-2027," katanya.

 

Maybank IB berkata, kumpulan itu mendapat manfaat daripada ketegangan perdagangan global, mencapai kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) pendapatan 26% sepanjang 2019-2023.

 

Dengan ketegangan AS-China yang semakin meningkat, firma penyelidikan itu menjangkakan trend peralihan pengeluaran ke Asia Tenggara, termasuk Malaysia akan berterusan.

 

"Ini meletakkan PIE untuk meningkatkan peluang penyumberan luar, menyokong ramalan kami untuk CAGR pendapatan 16% sepanjang 2023-2027," katanya.- DagangNews.com