Maybank umum pelantikan CEO Maybank Investment Bank dan timbalan berkuatkuasa 28 Oktober 2024 | DagangNews Skip to main content

Maybank umum pelantikan CEO Maybank Investment Bank dan timbalan berkuatkuasa 28 Oktober 2024

Tengku Ariff Azhar Tengku Mohamed (kiri) dan Michael Oh-Lau.
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 29 Okt - Maybank melantik Michael Oh-Lau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), dan Tengku Ariff Azhar Tengku Mohamed sebagai Timbalan CEO Maybank Investment Bank Berhad (Maybank IB), berkuat kuasa 28 Oktober 2024.

 

Sebagai CEO Maybank IB dan CEO Kumpulan Perbankan Pelaburan Maybank (Maybank IBG) sejak Disember 2022, Michael akan bertanggungjawab memajukan perniagaan di Malaysia, mengukuhkan kedudukannya sebagai bank pelaburan terkemuka, serta memacu kepimpinan di peringkat serantau.

 

Michael memainkan peranan penting dalam melaksanakan urus niaga di seluruh ASEAN, termasuk tawaran awam permulaan (IPO), penggabungan dan pengambilalihan, penerbitan Sukuk dan transaksi kewangan mampan. 

 

Beliau juga memantau pengembangan produk seperti waran terstruktur di Indonesia, serta pelancaran aplikasi perdagangan baharu di Malaysia, Indonesia dan Vietnam.

 

Sebagai Timbalan CEO Maybank IB, Tengku Ariff akan menyokong Michael dalam mengurus hubungan pelanggan dengan berkesan, memastikan penyediaan penyelesaian yang komprehensif dan mengawasi perniagaan pengurusan pelaburan.

 

Tengku Ariff pernah menjawat jawatan Ketua Pasaran Modal Hutang sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi pada Disember 2021 dan pegawai bertanggungjawab di Maybank IB pada Januari 2024. 

 

Mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam bidang perbankan, beliau telah mengetuai pelbagai transaksi yang memenangi anugerah dan menyelia peningkatan sistem yang signifikan untuk perniagaan pembrokeran runcit, termasuk pelancaran aplikasi mudah alih Maybank Trade MY pada awal 2024.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Dato’ Khairussaleh Ramli berkata, Michael dan Tengku Ariff mencerminkan saluran bakat yang kukuh dan kedua-duanya dihormati oleh pelanggan dan industri. 

 

"Dengan gabungan kepimpinan dan pengalaman luas mereka di pasaran, kami yakin mereka akan terus memajukan francais perbankan pelaburan kami di seluruh rantau ini dengan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan, selaras dengan strategi M25+ Maybank," katanya dalam satu kenyataan.

 

Maybank IBG adalah cabang perbankan pelaburan Maybank yang terdiri daripada Maybank IB di Malaysia yang beroperasi di lima pasaran utama ASEAN iaitu Singapura, Thailand, Indonesia, Vietnam, Filipina, serta Hong Kong, India dan United Kingdom. - DagangNews.com