KUALA LUMPUR 26 Nov - MBSB Bhd mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 33% kepada RM2.8 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2024 (9MFY24) berbanding RM2.1 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.
Kumpulan itu berkata, pertumbuhan itu didorong pendapatan dana dan pendapatan bukan dana, dengan pendapatan daripada dana mencecah RM1.1 bilion, meningkat RM298 juta daripada tahun sebelumnya disokong pendapatan pembiayaan serta pendapatan perbendaharaan yang lebih tinggi.
Sementara itu, pendapatan bukan dana menyaksikan peningkatan ketara kepada RM145 juta, meningkat daripada RM37 juta, disumbang penambahbaikan dalam perkhidmatan nasihat, pendapatan yuran, keuntungan pelaburan kewangan dan sumbangan daripada MIDF.
MBSB mencapai margin keuntungan bersih yang lebih baik sebanyak 2.55% berbanding 1.96% pada suku yang sama tahun lepas, mempamerkan hasil berkesan kumpulan dan strategi pengurusan kos.
Nisbah kos kepada pendapatan (CIR) bagi tempoh dalam tinjauan ialah 55.4%, peningkatan berbanding 57.6% dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Keuntungan operasi praperuntukan kumpulan meningkat sebanyak 56% tahun ke tahun, meningkat daripada RM353 juta pada 9MFY23 kepada RM552 juta pada 9MFY24, dipacu hasil yang lebih baik dan pengurusan kos yang cekap.
Keuntungan bersih meningkat kepada RM255 juta, peningkatan 34% daripada RM191 juta pada 9MFY23, dengan prestasi cemerlang merentas semua segmen perniagaan.
Portfolio pembiayaan berkembang kepada RM43.1 bilion setakat September 2024, menandakan pertumbuhan 2.6% daripada RM42 bilion pada Disember 2023, didorong terutamanya pertumbuhan 9.8% dalam perniagaan gadai janji dan kenaikan 13.5% dalam pembiayaan komersial.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Rafe Haneef berkata, keputusan kewangan kumpulan untuk suku ketiga 2024, yang mencerminkan kemajuan yang stabil.
Katanya, strategi FLIGHT26 sedang dibentuk, dan pihakya mula melihat bagaimana kerjasama antara MBSB Bank dan MIDF memperkukuh keupayaan kumpulan dalam membina kumpulan yang lebih berdaya tahan.
"Walaupun masih ada kerja yang perlu dilakukan, pertumbuhan dalam hasil dan keuntungan menunjukkan bahawa tumpuan kami untuk mengoptimumkan kunci kira-kira dan mengurus kos berada di landasan yang betul.
"Melangkah ke hadapan, kami menyasarkan untuk membina momentum ini, memastikan kami kekal dengan komitmen untuk menawarkan rumusan kewangan yang inovatif dan mengutamakan pelanggan sambil mengekalkan asas yang kukuh," katanya. - DagangNews.com