Menjelang 2026, hanya syarikat pembinaan ada sijil ISO anti rasuah boleh membida projek kerajaan melebihi RM100 juta - SPRM | DagangNews Skip to main content

Menjelang 2026, hanya syarikat pembinaan ada sijil ISO anti rasuah boleh membida projek kerajaan melebihi RM100 juta - SPRM

Syarat ini dikenakan terhadap syarikat pembinaan Kelas G7 yang berdaftar dengan CIDB pada 2026. - Gambar NAIM AZIZ/DagangNews

KUALA LUMPUR 26 Sept - Hanya syarikat pembinaan yang memiliki pensijilan Sistem Pengurusan Anti Rasuah ISO 37001 (ABMS) akan dibenarkan membida kontrak kerajaan bernilai lebih RM100 juta, kata Tan Sri Azam Baki.

 

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata keperluan ini akan dikuatkuasakan pada 2026 bagi syarikat pembinaan Kelas G7 yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) apabila membida kontrak kerajaan.

 

 

"Jawatankuasa Tadbir Urus Negara, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada dasarnya bersetuju syarikat Kelas G7 yang terlibat dalam projek melebihi RM100 juta mesti memperoleh pensijilan ABMS dalam tempoh dua tahun akan datang.

 

"Ini akan mencerminkan komitmen syarikat untuk menghapuskan rasuah apabila membida tender di bawah Kementerian Kewangan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Persidangan Penyelidikan Kebangsaan mengenai Tadbir Urus, Integriti dan Anti Rasuah Ketiga di Bangi pada Khamis.

 

 

Tan Sri Azam Baki
                              Tan Sri Azam Baki

 

 

ABMS ditujukan untuk membantu syarikat mengesan, mencegah dan bertindak balas terhadap insiden rasuah.

 

Ia juga merangkumi pematuhan kepada undang-undang dan peraturan yang berkaitan termasuk komitmen sukarela yang bertujuan untuk menghapuskan rasuah.

 

Azam berkata tempoh tangguh dua tahun itu adalah untuk membolehkan syarikat terbabit membuat pengaturan bagi pensijilan itu.

 

“Pada masa ini, syarikat-syarikat ini masih boleh membida kontrak kerajaan.

 

“Tetapi mereka tidak akan dibenarkan membida projek dengan Kementerian Kewangan jika mereka tidak mempunyai ABMS selepas dua tahun. Itu syaratnya,” tambahnya.

 

Azam berkata keputusan itu bagi memastikan projek kerajaan tidak terjejas dengan rasuah dan ketirisan.

 

Terdahulu, semasa ucapan alu-aluannya, Azam berkata kajian antarabangsa mendapati industri pembinaan global kerugian kira-kira RM5 trilion setahun akibat rasuah dan ketirisan. - DagangNews.com