Meriam 105mm, peluru berpandu KD Jebat aset baharu bakal ganda kekuatan ATM | DagangNews Skip to main content

Meriam 105mm, peluru berpandu KD Jebat aset baharu bakal ganda kekuatan ATM

Meriam Nexter LG1 105mm buatan Perancis yang diguna Tentera Darat.
FOKUS BERITA oleh ZAKI SALLEH

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mendapat beberapa aset baharu menerusi pembelian yang dibuat tahun ini bagi meningkatkan keupayaan pertahanan negara.

 

Sepertimana diumumkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semalam, peruntukan sebanyak RM12 bilion disediakan bagi tujuan tersebut.

 

Katanya ketika berucap pada Majlis Perutusan Tahun Baharu 2025 Menteri Pertahanan di Wisma Perwira Kuala Lumpur, ia antara 10 fokus utama yang digariskan dalam perancangan 2025 Kementerian Pertahanan (Mindef).

 

 

Ini memastikan sistem pertahanan negara mencapai keperluan dan cabaran semasa.

 

Antara perolehan aset utama yang telah diluluskan tahun ini termasuk meriam 105mm, peluru berpandu permukaan ke permukaan (SSM) untuk kapal friget KD Jebat dan tiga unit Medium Altitude Long Endurance Unmanned Aerial System (MALE UAS).

 

 

Meriam
Meriam Nexter LG1 105mm bersaiz kompak dan mudah dibawa.

 

Meriam
Meriam Oto Melara 105mm.

 

Selain itu, Mohamed Khaled turut memaklumkan tentang perkembangan projek kapal tempur pesisir (LCS) yang mencapai kemajuan sebagaimana dijadualkan termasuk pembinaan 4 kapal misi pesisir (LMS) Batch 2.

 

Kecuali dron MALE UAS, pembelian meriam 105mm dan sistem peluru berpandu KD Jebat adalah perolehan baharu yang belum pernah diumumkan sebelumnya.

 

Ini merupakan satu petanda positif terhadap usaha Mindef terus merancakkan pembangunan kelengkapan moden kepada ATM.

 

Dalam ucapannya, Menteri Pertahan bagaimana pun tidak memperincikan lebih lanjut tentang 2 pembelian berkenaan.

 

Justeru, bagi meriam 105mm kebarangkalian ATM akan kekal memilih sistem artileri LG1 Mark III Nexter 105mm (Nexter LG1 105mm) buatan Perancis yang telah digunakan.

 

Meriam

 
Meriam

 

Ini merupakan pembelian bagi meneruskan program menggantikan sistem artileri sedia ada iaitu Oto Melara L5 Pack Howitzer 105mm yang telah digunakan sejak 50 tahun lalu.

 

Meriam yang banyak berjasa ini telah menjadi tulang belakang medan tempur sepanjang operasi TD memerangi pengganas komunis sehinggalah semasa pertempuran di Lahad Datu.

 

ATM pada 2018 memilih Nexter LG1 105mm yang mana 18 laras meriam kini diguna Rejimen Pertama Artileri Diraja (1 RAD Para) dengan jumlah keseluruhan akan ditambah secara berperingkat-peringkat untuk 8 buah rejimen.

 

Syarikat tempatan, Advanced Defence Systems Sdn Bhd (ADSSB) yang memperoleh kontrak pembekalan Nexter LG1 105mm telah melakukan sepenuhnya kerja-kerja pemasangan sistem artileri tersebut di kilangnya di Gemas, Negeri Sembilan.

 

Pemilihan meriam yang sama penting bagi memudahkan aspek logistik dan penyelenggaraan termasuk pembelian peluru.

 

Kapal
KD Jebat masih menjadi tunjang utama dalam armada TLDM.

 

Bagi pembelian peluru berpandu SSM baharu KD Jebat, ini juga merupakan langkah ke hadapan Mindef untuk memastikan kapal yang dibina pada 1995 ini mengekalkan keupayaan tempur.

 

KD Jebat, salah sebuah daripada frigat Kelas Lekiu kekal menjadi aset terbaik dalam armada TLDM dengan keupayaan peperangan tiga dimensi.

 

Ketika ini KD Jebat dan KD Lekiu dilengkapi dengan SSM Exocet MM40 Block II manakala persenjataan lain seperti peluru berpandu pertahanan udara Seawolf, torpedo A 244/S Whitehead dan meriam Bofors 57mm.

 

Exocet MM40 Block II bakal melepasi jangka hayat operasi, jadi wajar digantikan dengan peluru berpandu yang canggih.

 

 

Kapal

 

Kapal
Peluru berpandu Exocet yang dilancarkan pada kapal KD Lekiu.

 

Belum ada penjelasan tentang SSM baharu, cuma jika mengikut kesesuaian sistem Exocet MM40 Block III generasi terkini boleh dipilih TLDM atas faktor keserasian.

 

Exocet MM40 Block III mempunyai keupayaan lebih baik dan boleh mengenai sasaran pada jarak 200 kilometer.

 

Bagaimana pun, ada yang membayangkan mungkin sistem SSM lain akan dilengkapkan pada KD Jebat iaitu Naval Strike Missile (NSM) buatan Kongsberg Defence & Aerospace.

 

Ini kerana Mindef pada 2018 telah menganugerahkan kontrak bernilai AS$153.2 juta kepada syarikat Norway itu bagi membekalkan peluru berpandu NSM bagi kapal-kapal LCS.

 

 

Kapal
Peluru berpandu NSM.

 

Pesawat
MALE UAS Anka S jenis sama yang bakal dimiliki ATM.

 

Kemungkinan KD Jebat bakal dipasang dengan peluru NSM juga bersandarkan kepada hanya 5 daripada 6 LCS dibina kerajaan setelah mengalami kelewatan.

 

Sepertimana Exocet Blok III, NSM juga merupakan peluru berpandu antikapal generasi moden dan digeruni.

 

Bagi MALE UAS, Malaysia telah memilih varian Anka-S yang berupaya terbang selama 24 hingga 30 jam tanpa henti, pada ketinggian 30,000 kaki dan membawa muatan antara 250 hingga 350 kilogram.

 

Selain melaksanakan tugas risikan, pengawasan dan tinjauan (ISR), dron Anka-S yang diperoleh Malaysia juga mempunyai kemampuan membawa empat peluru berpandu MAM Smart Micro yang dibangunkan oleh satu lagi syarikat pertahanan Turkiye, Roketsan untuk misi serangan darat.

 

Skuadron dron MALE UAS ini akan berpangkalan di Labuan, Sabah bagi meningkatkan pengawasan di Laut China Selatan. - DagangNews.com