KUALA LUMPUR 28 Okt - MIDF Research menjangkakan Nestle (Malaysia) Bhd terus berdepan tekanan sepanjang baki FY24 kesan perbelanjaan pengguna yang lemah selain penyusutan pendapatan sebanyak 18% tahun ke tahun (YoY) dan inflasi pada 3QFY24.
Firma penyelidikan itu berkata, jualan domestik dijangka kekal lemah kerana pengguna mengutamakan pembelian penting, ini mencerminkan persekitaran perbelanjaan yang lebih berhati-hati.
Mengenai kesan duti eksais terhadap minuman manis, Nestle menjangkakan gangguan yang minimum kerana kebanyakan produknya memenuhi kawal selia.
"Pada 2025, kami menjangkakan pasaran Nestle akan menyaksikan peningkatan progresif dibantu oleh faktor makroekonomi seperti kenaikan gaji kakitangan awam kerajaan (berkuat kuasa pada 1 Disember 2024), kenaikan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 (bermula Februari 1 2025) dan pemberian tunai akan datang.
"Langkah-langkah ini boleh meningkatkan pendapatan merentas pelbagai segmen pengguna, menyokong pemulihan dalam permintaan Nestle yang akan menyumbang kepada trajektori hasil lebih sihat menjelang 1HFY25," kata MIDF Research dalam satu nota penyelidikan.
Disebalik ramalan yang positif, MIDF Reseacrh berkata, keutamaan pengguna yang lemah akibat konflik Israel-Gaza telah memberi kesan ketara kepada prestasi kewangan syarikat, dengan keuntungan suku tahunan jatuh di bawah RM100 juta bagi dua suku berturut-turut.
"Walau bagaimanapun, kami percaya ekuiti jenama Nestlé, terutamanya Milo dan Maggi masih mempunyai daya tahan yang kuat.
"Walaupun sesetengah pengguna telah beralih kepada jenama lain, kami menjangkakan pemulihan beransur-ansur apabila pengguna kembali kepada produk Nestle.
MIDF Research mengekalkan saranan 'neutral' terhadap Nestle dengan merendahkan harga sasaran (TP) RM101.90 daripada RM109.90 bagi satu saham.
Firma itu juga menganggap nisbah harga kepada pendapatan (P/E) pada 35.6 kali terhadap pendapatan Nestle pada FY25, iaitu di bawah nisbah P/E purata dua tahun sebanyak 46.3 kali.
"Kami menyemak semula unjuran pendapat Nestle pada FY25 sehingga FY26, masing-masing sebanyak 8% dan 7%.
"Walaupun FY24 mungkin kekal sukar bagi Nestle, kami menjangkakan pertumbuhan pendapatan pada FY25 didorong oleh peningkatan momentum perbelanjaan pengguna berikutan langkah yang diumumkan dalam Belanjawan 2025," katanya.- DagangNews.com