KUALA LUMPUR 6 Nov - Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) menyasarkan untuk menyalurkan pembiayaan sebanyak RM200 juta daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi membantu 100 PKS Malaysia beralih ke kilang pintar menjelang 2027.
Program ini iaitu Pembiayaan Masa Depan (FRF), bertujuan mewujudkan lebih 500 pekerjaan berkemahiran tinggi dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitan pembuatan.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, program tersebut adalah inisiatif perintis yang menyatukan komitmen kerajaan untuk memperkasakan PKS dan mengukuhkan ketahanan ekonomi.
“Kami melancarkan FRF dengan matlamat untuk melengkapkan PKS dengan keupayaan dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi dan perkhidmatan berkaitan pembuatan,” katanya semasa pelancaran FRF pada Selasa.
Kerjasama berkenaan diterajui oleh MIDF melalui program FRF, dengan sokongan daripada Malaysian Technology Development Corporation (MTDC), Standards and Industrial Research Institute of Malaysia (SIRIM), serta penyedia penyelesaian.
“Kerjasama ini menawarkan produk kewangan yang disasarkan, perkhidmatan nasihat pakar dan penyelesaian teknologi maju untuk memacu automasi, meningkatkan kecekapan operasi dan yang lebih penting, mengurangkan kebergantungan terhadap buruh asing tidak berkemahiran,” katanya.
Menurut Chin Tong, MTDC dan SIRIM memainkan peranan penting dengan menilai kesiapsiagaan teknologi, memadankan PKS dengan penyedia penyelesaian yang sesuai, serta mencadangkan PKS yang layak untuk pembiayaan MIDF.
“Pendekatan ini memastikan PKS tidak hanya dilengkapi dengan sumber kewangan, tetapi juga disokong dengan kepakaran, meletakkan mereka pada kedudukan yang baik untuk integrasi teknologi pintar dan pertumbuhan mampan," ujar beliau.
Program terbabit selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baru Malaysia 2030 (NIMP 2030) di mana FRF merupakan langkah ke arah membangunkan ekonomi berasaskan teknologi yang lebih berdaya tahan.
“PKS Malaysia merupakan tulang belakang ekonomi negara, menyumbang 38% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menyediakan hampir separuh daripada pekerjaan negara. Memperkasa PKS adalah penting untuk mencapai sasaran perindustrian kita di bawah NIMP 2030,” tambahnya.
Chin Tong berharap, PKS akan mengadaptasi teknologi Industri 4.0, mengakses analisis data masa nyata, melibatkan diri dalam pembuatan tepat, dan melaksanakan sistem kilang pintar secara menyeluruh melalui program ini.
Pengerusi MIDF, Tan Sri Abdul Rahman Mamat berkata, pihaknya percaya, memperkasakan PKS tempatan adalah asas untuk membina Malaysia yang lebih berdaya tahan dan inovatif.
“FRF mencerminkan komitmen kami terhadap visi itu, menyokong PKS dengan alat kewangan, sumber dan pengetahuan yang disesuaikan untuk berkembang secara mampan," ujarnya. - DagangNews.com