KUALA LUMPUR 2 Jan - Anak syarikat MMAG Holdings Bhd, MJets Air Sdn Bhd (MJets Air), sedang giat meneroka kerjasama dengan syarikat penerbangan dan pemain logistik lain, termasuk pemimpin industri kargo seperti JD.com dan Cainiao dari China, serta Unilode Aviation Solutions dari Switzerland.
Pengerusinya, Woo Kam Weng berkata, syarikat berhasrat memperluaskan rangkaian perkhidmatan, meningkatkan kekerapan penerbangan dan meningkatkan kecekapan operasi melalui kerjasama tersebut.
Katanya, dengan memanfaatkan kepakaran dan jangkauan rakan kongsi, MJets Air mahu memberikan nilai yang lebih baik kepada pelanggan sambil mengukuhkan kedudukannya sebagai penyedia sambungan untuk syarikat penerbangan atau pengendali kargo udara serantau.
"MJets Air mahu memaksimumkan potensi perkongsian strategik dengan menyepadukan sumber dan berkongsi data bersama rakan kongsi seperti MasKargo, ANA, JD.com dan Cainiao.
"Kerjasama ini membolehkan perancangan laluan yang lebih cekap, penggunaan kapasiti yang lebih baik dan penjadualan yang dipertingkatkan untuk memenuhi permintaan pasaran yang dinamik," katanya seperti dalam laporan SunBiz.
Jelas beliau, perkongsian strategik dengan syarikat penerbangan utama membolehkan MJets Air menawarkan pelbagai laluan, penggunaan kapasiti secara silang dan pilihan penjadualan yang fleksibel.
Beliau berkata, kerjasama dengan pembekal dan penyedia perkhidmatan pula, membolehkan MJets Air memberi tumpuan kepada rumusan kargo udara dan terus meningkatkan kecekapan operasi dengan memanfaatkan kepakaran rakan kongsi.
"Penyelarasan operasi dengan rangkaian pemain yang lebih besar, dapat memastikan syarikat memenuhi sambungan lancar di laluan yang menerima permintaan tinggi.
"Selain itu, kerjasama ini membantu mempermudah proses pengendalian kargo, mengurangkan masa penghantaran dan meningkatkan kebolehpercayaan perkhidmatan, sekali gus mengukuhkan peranan MJets Air sebagai pengendali yang dipercayai dalam rantai bekalan kargo udara serantau," ujarnya.
Minggu lalu, MJets Air memperoleh pesawat ketujuhnya yang juga pesawat kargo pertama, Boeing B737-400SF pada harga RM20.76 juta, menandakan peralihan ke arah pemilikan untuk kawalan kos yang lebih baik dan pertumbuhan.
MJets Air kini mengendalikan enam pesawat yang disewa.
Pembelian pesawat berkenaan adalah sebahagian daripada langkah strategik kumpulan untuk mengembangkan dan mempertingkatkan keupayaan kargo udara, memberikan kawalan yang lebih besar terhadap armada mereka dan meningkatkan kecekapan operasi. - DagangNews.com