MYMBN terjejas RM2.5 juta susulan penggantungan eksport sarang burung ke China sejak 25 Dis 2024 | DagangNews Skip to main content

MYMBN terjejas RM2.5 juta susulan penggantungan eksport sarang burung ke China sejak 25 Dis 2024

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 2 Jan - MYMBN Bhd gagal memenuhi pesanan bernilai kira-kira RM2.5 juta susulan penggantungan sementara eksport produk sarang burung ke China oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia, yang berkuat kuasa pada 25 Disember 2024. 

 

Menurut syarikat itu, langkah penggantungan berkenaan telah menjejaskan operasi, rantaian bekalan dan aliran perolehan berkaitan pasaran China yang merupakan antara destinasi eksport utama mereka.

 

"Sehingga kini, MYMBN tidak dapat memenuhi pesanan bernilai kira-kira RM2.5 juta.

 

"Walaupun penggantungan dilaksanakan, syarikat terus menanggung kos perbelanjaan tetap bulanan sebanyak kira-kira RM92,000," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, kelmarin.

 

Syarikat itu bagaimanapun masih belum dapat menilai sepenuhnya kesan kewangan akibat penggantungan tersebut.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Eksport produk sarang burung MYMBN ke China digantung sementara oleh Veterinar Malaysia

 

Jelas MYMBN, bagi menghadapi situasi berkenaan, pihaknya telah melaksanakan beberapa langkah antaranya bekerjasama dengan badan pengawal selia untuk menyelesaikan isu dan mempercepatkan penyelesaiannya.

 

Selain itu, MYMBN sedang meneroka strategi untuk memperkukuhkan kehadirannya di pasaran alternatif bagi mengurangkan kebergantungan kepada China. 

 

Aliran kerja operasi kumpulan juga sedang dioptimumkan bagi menguruskan inventori dan tahap pengeluaran dengan cekap, sambil mengekalkan kualiti produk.

 

Pada 26 Disember 2024, MYMBN mengumumkan telah menerima notis daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia berhubung penggantungan sementara eksport produk sarang burung ke China berikutan laporan wabak Newcastle Disease (ND) di Malaysia yang telah dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH).

 

Bagaimanapun, jabatan itu dalam kenyataan berasingan memaklumkan, pihaknya setakat ini tidak mengesan penyakit berkenaan di premis dan produk sarang burung walet yang dipantau.

 

Jabatan itu berkata, akibat penangguhan eksport tersebut, sebanyak 22 penghantaran melibatkan 1.769 tan metrik sarang burung bernilai RM7.23 juta oleh 13 syarikat pengeksport berdepan masalah pelepasan di pintu masuk China.

 

China melalui Jabatan Pentadbiran Am Kastam negara itu (GACC) meminta Malaysia menangguhkan sementara pengeksportan produk tersebut berikutan laporan wabak ND yang dikesan pada ayam dan itik di Malaysia antara Mac hingga Jun 2024, seperti yang dilaporkan kepada WOAH. 

 

Sehubungan itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia berkata, ia telah menghantar laporan terperinci mengenai status wabak dan tindakan pengurusan wabak ND di Malaysia kepada GACC untuk menangani isu berkenaan serta memberi jaminan bahawa produk sarang burung walet yang dihantar ke China bebas daripada penyakit tersebut. - DagangNews.com