OB Holdings terlibat dengan pertikaian undang-undang berhubung dakwaan pelanggaran kontrak, hak harta intelek | DagangNews Skip to main content

OB Holdings terlibat dengan pertikaian undang-undang berhubung dakwaan pelanggaran kontrak, hak harta intelek

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Okt - Anak syarikat milik penuh OB Holdings Bhd menerima notis pertikaian daripada pelanggan, Nature One Dairy (Hong Kong) Ltd (NOD), kerana didakwa melanggar perjanjian pembelian dan pembekalan.

 

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, NOD juga mendakwa anak syarikat OB, Orient Biotech Sdn Bhd, telah melanggar hak harta inteleknya (IP).

 

Dakwaan itu berpunca daripada pengeluaran produk susu tepung Orient Biotech untuk pelanggan baharu, yang didakwa NOD menggunakan "rumusan, resipi dan bahan-bahan" yang serupa dengan produknya sendiri.

 

"Disebabkan ini, NOD meminta Orient Biotech menghentikan pengeluaran produk dan memberikan maklumat tentang urusan dengan pelanggan baharu dalam tempoh 14 hari dari notis," katanya.

 

Sebagai respon, Orient Biotech, selepas berunding dengan peguamcaranya, telah menafikan dakwaan itu dan menegaskan bahan-bahan yang dipersoalkan adalah generik serta biasa terdapat di pasaran.

 

Orient Biotech berkata, jika tuntutan NOD terbukti tidak berasas, mereka akan mendapatkan ganti rugi penuh untuk sebarang kerugian, ganti rugi, tuntutan, perbelanjaan, prosiding, saman dan kos undang-undang yang ditanggung.

 

"Syarikat kini dalam perbincangan untuk menyelesaikan pertikaian secara baik melalui perbincangan dan rundingan dengan NOD dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis pertikaian, jika gagal pertikaian itu akan dirujuk kepada pengantaraan mengikut terma perjanjian dengan NOD," katanya.

 

Selain itu, lembaga pengarah berpendapat, pertikaian itu tidak mungkin menjejaskan kedudukan kewangan syarikat secara material.

 

Jumlah nilai pesanan daripada pelanggan baharu berjumlah RM570,000, manakala jualan berkaitan NOD telah menurun dengan ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dan pada masa ini tiada pesanan pembelian tertunggak daripada NOD.

 

Kumpulan itu tidak menjangkakan jualan ketara daripada NOD pada masa hadapan. Ia sebaliknya akan memberi tumpuan kepada mendapatkan jualan daripada pelanggan baharu dan sedia ada pada masa hadapan, katanya.

 

OB Holdings dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 29 Okt, dengan anggaran permodalan pasaran RM94 juta.- DagangNews.com