Pantech Global meterai perjanjian taja jamin dengan Alliance Islamic Bank, bakal disenaraikan di Pasaran Utama | DagangNews Skip to main content

Pantech Global meterai perjanjian taja jamin dengan Alliance Islamic Bank, bakal disenaraikan di Pasaran Utama

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 8 Jan - Pengeluar dan pengeksport kelengkapan paip kimpalan, Pantech Global Berhad (Pantech Global) menandatangani perjanjian taja jamin dengan Alliance Islamic Bank Berhad (AIS) untuk tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities).

 

Pantech Global, melalui anak syarikatnya, mengeluarkan dan mengeksport kelengkapan paip kimpalan butt weld dan paip dikimpal keluli tahan karat untuk kegunaan pelbagai industri seperti minyak dan gas, petrokimia, kimia, semikonduktor, rawatan air dan pembinaan kapal yang memerlukan sistem paip dan saluran paip yang boleh menahan suhu tinggi, tekanan tinggi, hakisan dan persekitaran sukar.

 

Pantech Global menyediakan perkhidmatan kepada pasaran global merangkumi rantau Asia Pasifik, Amerika, Eropah, Asia Barat dan Afrika Utara. 

 

Destinasi eksport utama kumpulan termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Mexico, Belanda, Jerman, United Kingdom, Taiwan, Turkiye, Mesir, Emiriah Arab Bersatu dan negara-negara di rantau Asia Pasifik.  

 

Pada 2023, kumpulan menguasai 66% pasaran eksport Malaysia untuk kelengkapan paip kimpalan butt weld dan 16% pasaran pengeluaran Malaysia untuk paip dikimpal keluli tahan karat.

 

Pengarah Urusan Pantech Global, Adrian Tan berkata, syarikat berbesar hati mengambil langkah penting ke arah penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Securities, meletakkannya di landasan tepat untuk pertumbuhan perniagaan masa hadapan. 

 

"Penyenaraian ini akan meningkatkan profil kami sebagai sebuah pengeluar dan pengeksport Malaysia, sekali gus mengukuhkan keyakinan terhadap kepakaran teknikal, keupayaan pengeluaran dan komitmen untuk menyampaikan rumusan berkualiti tinggi kepada industri global," katanya dalam satu kenyataan. 

 

IPO Pantech Global melibatkan terbitan awam sebanyak 262,228,000 saham biasa baharu (Saham IPO), mewakili 30.85% daripada modal saham diterbitkan syarikat yang diperbesarkan sebanyak 850,000,000 saham selepas penyenaraian (terbitan awam).

 

Saham-saham berkenaan meliputi 21,250,000 Saham IPO untuk permohonan oleh orang awam Malaysia; 29,750,000 Saham IPO untuk pengarah dan pekerja Pantech Global yang layak, pengarah dan pekerja yang layak di Pantech Group Holdings Berhad (Pantech Group), serta individu-individu lain yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan.

 

Selain itu, sebanyak 35,000,000 Saham IPO diperuntukkan untuk permohonan oleh pemilik saham Pantech Group yang layak; 69,978,000 Saham IPO melalui penempatan persendirian kepada pelabur institusi dan pelabur terpilih; dan 106,250,000 Saham IPO melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia.

 

Pantech Group yang disenarai di Pasaran Utama Bursa Securities dan terlibat dalam perdagangan serta pembekalan paip, alat kelengkapan perpaipan dan kawalan aliran, akan mengekalkan pegangan majoriti sebanyak 69.15% dalam Pantech Global selepas penyenaraian.

 

Selaras dengan perjanjian jaminan, AIS akan menjamin 86,000,000 Saham IPO sebagai sebahagian daripada Terbitan Awam IPO.

 

Pantech Global dijadual membuat penampilan sulung di Pasaran Utama Bursa Securities pada suku pertama tahun 2025 dengan AIS sebagai penasihat utama, penaja jamin dan ejen penempatan. - DagangNews.com