KUALA LUMPUR 17 Dis - Pasaran rumah Malaysia dan keseluruhan sektor hartanah kekal kukuh dan stabil sepanjang 2024 disokong permintaan yang rancak dan pelancaran projek baharu sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur.
Mengikut Indeks Harga Rumah Malaysia, purata harga rumah berada pada RM475,126 dengan kenaikan sederhana 0.4% berbanding setahun lalu, menunjukkan kestabilan pasaran dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu.
Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, hartanah kediaman memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada peningkatan pasaran.
“Urus niaga kediaman membentuk 50% daripada jumlah nilai dan 63% jumlah semua urus niaga hartanah setakat tahun ini," katanya kepada Bernama.
Keyakinan dalam kalangan pemaju ningkat ketiga dengan lebih 32,000 rumah bertanahdan bertingkat baharu dibangunkan pada suku ketiga - meningkat 50% daripada suku kedua.
Kashif berkata pemaju bukan sahaja memulakan projek baharu tetapi juga menyerahkan rumah yang telah siap secara berterusan, memastikan keseimbangan antara penawaran dan permintaan.
"Pasaran mengekalkan kadar pertumbuhan yang sekata, menandakan keyakinan dan potensi pengembangan yang berterusan," katanya.
Menurutnya, data itu mencerminkan kemajuan sepanjang tahun bagi pasaran hartanah Malaysia yang menyediakan asas kukuh bagi sektor itu untuk melangkah ke tahun 2025.
"Mereka (pemaju) menyerahkan hampir 24,000 rumah pada suku ketiga 2024, sama seperti suku sebelumnya," katanya sambil menambah pasaran rumah dijangka kekal stabil pada suku keempat.
Beliau berkata pasaran yang boleh diramal dengan kadar dan Harga yang stabil memudahkan pengguna untuk menilai pembelian mereka.
Menurut data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), volum dan nilai transaksi perumahan mencatatkan sedikit peningkatan pada 2024 dengan 70,520 unit direkodkan (suku ketiga 2023 68,561 unit) bernilai RM28.74 bilion berbanding RM28.36 bilion setahun lalu.
Secara keseluruhannya, prestasi pasaran hartanah mengukuh dengan bilangan dan nilai urus niaga meningkat masing-masing sebanyak 3.1% dan 0.3%.
Ini terdiri daripada 112,305 urus niaga bernilai RM57.31 bilion, berbanding 108,993 urus niaga bernilai RM57.14 bilion pada suku ketiga 2023. - DagangNews.com