KUALA LUMPUR 6 Jan - Malaysia bersedia untuk mencatatkan pertumbuhan ketara bagi pusat data tahun ini dipacu pelaburan besar daripada syarikat teknologi utama, menurut Public Investment Bank Bhd (PublicInvest).
Firma penyelidikan itu melihat aliran masuk positif untuk pelbagai industri di Malaysia berikutan peningkatan mendadak dalam pelaburan pusat data.
"Pusat data merupakan komponen penting dalam memperkasakan ekonomi digital yang semakin berkembang dan Malaysia boleh mengkhusus dalam perkhidmatan data.
"Pengkhususan itu berkaitan kecerdasan buatan (AI), yang mempunyai aplikasi merentas pelbagai industri seperti penjagaan kesihatan dan perkhidmatan, yang membawa kepada peningkatan kualiti perkhidmatan dan penyelesaian yang inovatif.
"Ini akan membantu negara meluaskan jangkauan melebihi semikonduktor dan mendapat keuntungan daripada pemindahan teknologi daripada syarikat teknologi besar," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Sementara itu, PublicInvest berkata, walaupun terdapat pelbagai kebimbangan perdagangan terhadap ketegangan perdagangan yang semakin meningkat, tahun 2025 disebut-sebut sebagai tempoh bagi sektor teknologi, yang akan menyaksikan banyak peluang untuk melabur, berinovasi dan membangun.
Firma penyelidikan itu percaya, AI kekal di barisan hadapan dalam topik utama, seperti juga keselamatan siber, pengkomputeran awan dan robotik.
"Kami juga mendapati beberapa pembuat peralatan ujian automatik (ATE) tempatan telah mula menerima lebih banyak pertanyaan dalam dua bulan lepas, walaupun keterlihatan prospek kekal mencabar.
"Bagi pasaran tempatan, permainan pusat data terus menjadi tumpuan.
"Secara keseluruhannya, kami yakin terhadap saham teknologi, memandangkan segmen seperti automotif masih menghadapi prospek yang mencabar," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "overweight" terhadap sektor itu, dan pilihan utama kumpulan itu ialah Cloudpoint Technology Bhd dan QES Group Bhd. - DagangNews.com