KUALA LUMPUR 3 Jan - Bekas timbalan menteri, Dr Ong Kian Ming menyuarakan kebimbangannya berhubung pelantikan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar sebagai Pengerusi Suruhanjaya Tenaga (ST) baru-baru ini.
Katanya, pelantikan itu tidak konsisten dengan penekanan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap tadbir urus, berdasarkan garis panduan untuk menguruskan badan berkanun persekutuan.
"Dokumen ini menyediakan garis panduan untuk pelantikan individu ke lembaga badan berkanun, seperti jawatan pengerusi, dan termasuk (garis panduan untuk) penjawat awam.
“Penjawat awam, terutamanya daripada Kementerian Kewangan, menduduki kebanyakan, jika tidak semua, lembaga badan berkanun tetapi bukan sebagai pengerusi lembaga ini," katanya dalam siri catatan di laman X.
Mengikut garis panduan itu, dalam pekeliling bertarikh 3 April 2024, Fasal 3.3.6 secara khusus menyatakan, pengerusi tidak boleh dipilih daripada kalangan penjawat awam (pegawai awam).
ARTIKEL BERKAITAN: KSN Shamsul Azri Abu Bakar diumum sebagai Pengerusi Suruhanjaya Tenaga mulai 1 Januari 2025
Ia bagi memastikan individu tersebut dapat menumpukan perhatian kepada tugas utama mereka tanpa dibebani dengan tanggungjawab tambahan berkaitan lembaga berkanun.
Justeru, Kian Ming mempersoalkan kemampuan Shamsul menguruskan kedua-dua tugasnya sebagai ketua penjawat awam dan pengerusi badan berkanun.
"Saya tidak ingat mana-mana (ketua setiausaha kerajaan) dilantik sebagai pengerusi lembaga berkanun semasa menjadi ketua setiausaha. Tolong betulkan saya jika saya salah,” kata bekas Ahli Parlimen Bangi itu.
Shamsul Azri mengambil alih jawatan Pengerusi ST daripada Datuk Mohamad Razif Abd Mubin, yang berkhidmat sebagai pemangku pengerusi sejak September 2024.
Mohamad Razif memangku jawatan tersebut berikutan peretakan jawatan Mohammed Rashdan Mohd Yusof, yang berundur kurang dua tahun selepas pelantikannya pada Februari 2023.
Beliau yang berusia 55 tahun, kini berkhidmat sebagai ketua setiausaha kerajaan, peranan yang disandangnya pada Ogos 2024, menggantikan Tan Sri Mohd Zuki Ali selepas kontrak dua tahunnya tamat. - DagangNews.com