Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 1 berjumlah RM2.3 bilion diagihkan bermula 22 Januari 2025 | DagangNews Skip to main content

Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 1 berjumlah RM2.3 bilion diagihkan bermula 22 Januari 2025

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Jan - Kerajaan akan menyalurkan pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 mulai 22 Januari 2025 dengan peruntukan sebanyak RM2.3 bilion peningkatakan berbanding RM2.1 bilion pada tahun lalu. 

 

Secara keseluruhan, program STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pada 2025 akan memanfaatkan hampir 9 juta penerima atau 60% daripada penduduk dewasa. 

 

Bagi STR dan SARA  2025, kerajaan menaikkan kadar maksimum untuk isi rumah kepada RM4,600 tahun ini iaitu kenaikan hampir 25% berbanding RM3,700 tahun lalu. 

 

 

Kadar minimum untuk golongan bujang juga naik kepada RM600 daripada RM500 tahun lalu, iaitu kenaikan sebanyak 20%.

 

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan peruntukan bagi STR Fasa 1 yang jauh melangkaui kadar inflasi negara mencerminkan tekad kerajaan memastikan kebajikan sebilangan besar rakyat kian bertambah baik meskipun berlakunya peningkatan kos sara hidup. 

 

“Bagaimanapun peningkatan kos sara hidup adalah fenomena yang melanda seluruh dunia, besarlah harapan Kerajaan Madani agar peningkatan sumbangan SARA dan STR saban tahun ini dapat membantu rakyat menggapai kehidupan yang lebih berdarjat,” katanya.

 

Pembayaran STR Fasa 1 akan disalurkan secara berperingkat mulai Rabu, 22 Januari 2025 kepada penerima yang berdaftar di dalam pangkalan data STR melalui pengkreditan ke dalam akaun bank mereka atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat mengikut kategori kelayakan STR masing-masing.  

 

Permohonan baharu dan kemas kini bagi STR akan dibuka sepanjang tahun. 

 

Sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan di  Portal Rasmi STR, melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my, bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan. 

 

Orang awam dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dengan pautan yang tidak sahih oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi merujuk informasi mengenai program STR. - DagangNews.com